PETALING JAYA: Penyampai radio, Zeera Azizi mendedahkan keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai pramugari adalah disebabkan tidak mahu menghidangkan minuman keras atau arak kepada penumpang.
Zeera atau Nurazeera Azizi, 30, berkata, meskipun sedar dirinya bukanlah insan yang sempurna, dia menganggap keputusan berhenti itu dapat mengurangkan satu perkara yang dirasakan sebagai satu dosa sepanjang menjalankan tugas sebagai pramugari.
Katanya, tugas menghidangkan arak itu perlu dilakukan setiap kali bertugas, kira-kira lima hingga enam hari seminggu.
“Saya sedar diri ini bukanlah baik sangat tapi cuba bayangkan jika pekerjaan kita perlukan kita hidangkan arak setiap kali bertugas, lima hingga enam hari seminggu.
“Sekurang-kurangnya selepas saya berhenti, berkuranglah satu dosa yang saya lakukan di dunia ini,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Bagaimanapun, Zeera menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan pendirian peribadinya dan bukan bertujuan menghakimi individu lain yang masih bekerja sebagai pramugari.
Menurutnya, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk mencari rezeki dan dia tidak mempunyai masalah dengan pilihan kerjaya orang lain selagi mereka gembira dengan pekerjaan masing-masing.
“Ini cuma pendapat saya dan bagi orang lain, terpulang kepada masing-masing asalkan gembira dengan apa yang dilakukan,” ujarnya.
Mengulas pertanyaan mengenai kemungkinan menyertai syarikat penerbangan luar negara, Zeera berkata, dia lebih selesa bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan kerana dia mudah berasa rindu dengan rumahnya.
“Kalau ada yang bertanya mengapa saya tidak menyertai syarikat penerbangan luar negara, saya memang seorang yang mudah berasa rindu dengan rumah. Jadi, walau apa pun, saya tetap mahu bekerja dan menetap di Kuala Lumpur,” katanya.
Zeera turut menjelaskan bahawa perkongsiannya itu sekadar menjawab pertanyaan mengenai sebab dia tidak meneruskan kerjaya sebagai pramugari meskipun pekerjaan berkenaan menawarkan pendapatan yang lumayan.
“Saya tidak menilai orang lain yang masih bekerja sebagai pramugari kerana itu cara masing-masing mencari rezeki. Jangan pula anggap saya memandang serong terhadap mereka,” katanya.
Untuk rekod, Zeera Azizi memulakan kerjayanya sebagai pramugari pada tahun 2016 dan menyertai stesen radio ERA pada penghujung tahun 2025 selepas memenangi tempat keempat dalam pencarian Penyampai Baru ERA pada November 2025 sebelum digandingkan secara rasmi mengendalikan segmen VAR ERA bermula Mei 2026.











