PARIS: Seorang wanita berusia 72 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah mendera anak perempuannya berusia empat tahun hingga menyebabkan kematian mangsa hampir 40 tahun lalu.
Halima El Bakhti didapati bersalah pada Selasa atas kesalahan melakukan penyeksaan dan kekejaman yang mengakibatkan kematian tanpa niat membunuh, menurut laporan media Perancis.
Bapa mangsa, Ahmed Touloub, 74, pula dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana bersubahat dalam kejadian itu.
Mayat Inass Touloub ditemukan di tepi Lebuhraya A10 di Suèvres, wilayah Loir-et-Cher, pada 11 Ogos 1987.
Pemeriksaan mendapati tubuh kanak-kanak itu mempunyai pelbagai kesan penderaan, termasuk kesan gigitan manusia, tulang patah dan kesan melecur akibat seterika.
Mangsa kemudian dikebumikan di sebuah kubur tanpa nama berhampiran lokasi mayatnya ditemukan.
Selama tiga dekad, identiti kanak-kanak itu gagal dikenal pasti dan dia hanya dikenali sebagai ‘Martir Kecil A10’.
Bagaimanapun, pada 2018, identitinya berjaya dirungkai selepas ujian DNA terhadap abangnya bagi kes berasingan menunjukkan padanan dengan DNA mangsa. Penemuan itu membawa kepada penahanan ibu bapa mangsa.
Perbicaraan kes itu berlangsung di Mahkamah Assize Loir-et-Cher bermula 2 November lalu sebelum keputusan diumumkan pada Selasa selepas juri mengadakan perbincangan selama beberapa jam.
Ketika perbicaraan, pendakwa raya Anaïs Allio menegaskan ‘tiada satu bahagian pun pada tubuh Inass yang terlepas daripada penderaan’, selain mengimbas kembali perasaan terkejut yang menyelubungi kami semua ketika melihat gambar bedah siasat yang disifatkannya sebagai tidak tertanggung, menurut laporan France Info.
Juri memutuskan ibu mangsa mengalami gangguan keupayaan membuat pertimbangan ketika kejadian berlaku, sekali gus mengurangkan hukuman maksimum yang boleh dikenakan terhadapnya.
Menurut France Info, kedua-dua tertuduh duduk tanpa menunjukkan reaksi di hadapan mahkamah dengan kepala tertunduk ketika alasan keputusan dibacakan.
El Bakhti dan Touloub mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Kematian Inass mencetuskan antara siasatan terbesar dalam sejarah Perancis, dengan gambar kanak-kanak itu disebarkan di tempat awam dan amaran mengenai kes berkenaan turut dihantar ke lebih 30 negara.











