KUALA LUMPUR: Persediaan menghadapi bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), isu pendatang asing dan status penggubalan Akta Keharmonian Nasional antara tumpuan Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) meminta Perdana Menteri menjelaskan kesiapsiagaan pasukan penyelamat, aset serta bantuan kebajikan termasuk kewangan bagi menghadapi bencana sepanjang MTL.
Beliau ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang memberikan insentif kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir.
Pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan usaha menyahkarbonkan sektor pengangkutan negara.
Beliau turut meminta penjelasan bagaimana teknologi hidrogen dapat melengkapi penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam membangunkan sistem mobiliti rendah karbon yang mampan.
Mohd. Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan pendirian muktamad kerajaan berhubung penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV) 1991 berbanding UPOV 1978 di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Sementara itu, pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah pendatang asing yang direkodkan dan tidak direkodkan di negara ini.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai tindakan bersepadu kerajaan dalam menangani penganiayaan pekerja, penggunaan dokumen pekerjaan tidak sah serta kadar jenayah membabitkan warga asing.
Datuk Ewon Benedick (PH-Penampang) pula meminta Menteri Perpaduan Negara menjelaskan bila Akta Keharmonian Nasional atau undang-undang baharu bagi menangani isu raja, kaum dan agama (3R) akan dibentangkan di Parlimen.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai cabaran yang menyebabkan undang-undang berkenaan masih belum dibentangkan sehingga kini.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan bila dasar menyeluruh pembangunan industri nadir bumi negara akan dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen.
Beliau turut membangkitkan pendirian kerajaan mengenai eksport bahan mentah, syarat pemindahan teknologi, pemprosesan hiliran dalam negara, perlindungan alam sekitar serta perkongsian hasil dengan negeri dan komuniti setempat.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2027 pada peringkat Jawatankuasa, termasuk usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 berjumlah RM85 bilion.
Persidangan turut dijadual menyaksikan RUU Kewangan 2026 dan RUU Langkah-langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2026 disenaraikan untuk bacaan kali kedua.-UTUSAN











