Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air, kumpulan Exists bakal menghidupkan kembali nostalgia peminat menerusi Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, pada 9 Januari 2027.
Konsert yang membawa tema Pulang itu cukup istimewa apabila menghimpunkan tujuh anggota kumpulan berkenaan iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah (gitar), Musa (bass), Ujang (dram) serta Ajai (keyboard).
Persembahan itu bakal menjadi antara momen penting buat Exists untuk meraikan perjalanan muzik mereka yang bermula di Johor sebelum berkembang menjadi antara kumpulan popular dalam industri muzik tempatan.
Ajai berkata, Johor mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana negeri itu menjadi titik permulaan perjalanan Exists dalam mengejar impian sebagai anak seni.
Menurutnya, peluang kembali mengadakan persembahan berskala besar di negeri sendiri bukan sekadar memenuhi tuntutan kerjaya, sebaliknya menjadi ruang menghargai asal-usul yang membentuk identiti kumpulan itu.
Sementara itu, Musa berkata, konsert berkenaan turut memberi peluang kepada Exists untuk menghubungkan kembali karya mereka dengan peminat yang membesar bersama lagu-lagu kumpulan itu.
Katanya, mereka berharap persembahan tersebut dapat menjadi pertemuan antara generasi apabila peminat yang pernah membesar dengan lagu Exists kini berpeluang berkongsi pengalaman sama bersama anak-anak.
Antara karya popular yang terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar termasuk Untukmu Ibu, Julia, Jesnita, Bunga, Janji Padamu dan Alasanmu.
Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu merupakan kerjasama kali kedua selepas penganjuran Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu yang menarik kira-kira 14,000 penonton.
Wakil penganjur memaklumkan sambutan terhadap konsert Exists itu amat menggalakkan apabila 50 peratus tiket sudah terjual setakat ini.











