Menopaus mempercepat tulang rapuh

Menopaus mempercepat tulang rapuh

LIMA tahun pertama selepas menopaus wanita biasanya kehilangan dua hingga tiga peratus ketumpatan mineral tulang setiap tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENOPAUS bukan sekadar menandakan berakhirnya kitaran haid, malah menjadi titik perubahan penting dalam kesihatan tulang wanita.

Penurunan paras hormon estrogen pada fasa ini boleh mempercepatkan kehilangan ketumpatan tulang dan meningkatkan risiko osteoporosis.

Osteoporosis adalah penyakit yang menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah, sekali gus boleh menjejaskan pergerakan serta keupayaan wanita untuk menjalani kehidupan secara berdikari apabila usia meningkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar Perunding Reumatologi dan Presiden Terdahulu, Persatuan Osteoporosis Malaysia, Dr. Yeap Swan Sim berkata, estrogen memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan antara proses pereputan tulang dan pembentukan tulang baharu, yang dikenali sebagai pembentukan semula tulang (bone remodelling).

Menurutnya, apabila paras estrogen menurun semasa menopaus, keseimbangan antara proses pereputan dan pembentukan tulang terganggu, menyebabkan kadar kehilangan tulang menjadi lebih cepat berbanding pembentukan tulang baharu.

Keadaan itu mengakibatkan ketumpatan tulang berkurang dan tulang menjadi lebih lemah.

“Lima tahun pertama selepas menopaus sering dikaitkan dengan kehilangan tulang yang lebih pesat.

Dalam tempoh ini, wanita boleh kehilangan kira-kira dua hingga tiga peratus ketumpatan mineral tulang setiap tahun.

“Kehilangan itu boleh mencapai sekitar 10 hingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun, malah dalam sesetengah wanita,
jumlahnya boleh mencecah 20 peratus dalam tempoh lima hingga enam tahun pertama selepas menopaus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tempoh awal selepas menopaus penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan tulang dan mengambil
langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko osteoporosis.

TIADA GEJALA

Menurut Dr. Yeap, osteoporosis sering digelar sebagai penyakit senyap kerana kehilangan ketumpatan tulang lazimnya berlaku tanpa tanda amaran yang jelas pada peringkat awal.

Keadaan itu menyebabkan ramai wanita hanya mengetahui mereka menghidap osteoporosis selepas mengalami patah tulang akibat terjatuh atau melakukan aktiviti harian biasa.

“Patah tulang akibat osteoporosis boleh menjadi petunjuk bahawa kehilangan ketumpatan tulang telah berlaku dengan ketara.

“Pada ketika itu, kehilangan tulang yang ketara mungkin telah pun berlaku,” jelasnya.

Oleh itu, wanita tidak seharusnya menunggu sehingga mengalami kesakitan atau patah tulang sebelum mengambil berat mengenai kesihatan tulang.

Sebaliknya, mereka perlu memahami faktor risiko masing-masing dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan bagi menentukan langkah pencegahan yang sesuai.

Antara faktor risiko utama osteoporosis adalah menopaus, khususnya menopaus awal, sejarah keluarga yang menghidap osteoporosis atau mengalami patah tulang, berat badan rendah dan kurang aktiviti fizikal.

Merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan, pemakanan tidak seimbang serta kekurangan kalsium dan vitamin D turut meningkatkan risiko berkenaan.

Selain itu, wanita yang kurang terdedah kepada cahaya matahari atau mempunyai keadaan perubatan tertentu serta mengambil ubat seperti steroid untuk tempoh panjang juga berisiko mengalami osteoporosis.

PEMAKANAN SEIMBANG

Dalam usaha melindungi kesihatan tulang, wanita perlu memberikan perhatian kepada pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat, terutama ketika dan selepas menopaus.

Dr. Yeap berkata, kalsium merupakan mineral utama yang membantu membina dan mengekalkan kekuatan tulang, manakala vitamin D membantu tubuh menyerap kalsium dengan lebih berkesan.

Antara sumber kalsium yang boleh dimasukkan dalam diet harian adalah susu, yogurt, keju, susu soya yang diperkaya kalsium, tauhu dan ikan kecil yang dimakan bersama tulangnya.

Pengambilan protein yang mencukupi juga penting bagi menyokong struktur tulang serta mengekalkan kekuatan otot.

Bagaimanapun, pemakanan sihat sahaja tidak dapat mencegah sepenuhnya kehilangan tulang akibat penurunan estrogen selepas menopaus, walaupun ia boleh membantu mengurangkan kadarnya.

Pada masa sama, wanita disarankan mengelakkan tabiat merokok dan mengehadkan pengambilan alkohol kerana kedua-duanya dikaitkan dengan kesihatan tulang yang lebih lemah.

SENAMAN BANTU KEKALKAN KEKUATAN, KESEIMBANGAN

Aktiviti fizikal turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan kekuatan tulang dan otot, selain membantu mengurangkan risiko jatuh.

Wanita boleh memulakan rutin senaman dengan aktiviti menanggung berat badan seperti berjalan pantas, menaiki tangga, menari, mendaki, berjoging atau melompat tali mengikut kemampuan fizikal masingmasing.

Latihan rintangan atau latihan kekuatan juga boleh membantu mengekalkan ketumpatan tulang serta meningkatkan kekuatan otot.

Antara senaman yang boleh dilakukan termasuk squat, lunge, step-up dan tekan tubi yang diubah suai mengikut kemampuan individu.

Selain itu, senaman keseimbangan dan koordinasi penting untuk membantu mengurangkan risiko jatuh,
khususnya apabila usia meningkat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini