Malaysia sasar jadi hab penyelesaian tenaga bersih serantau

Malaysia sasar jadi hab penyelesaian tenaga bersih serantau

FADILLAH Yusof ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Ladang Solar Gading Kencana di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat memperkukuh kedudukannya sebagai pengeluar dan pembekal penyelesaian tenaga bersih di pasaran serantau, sekali gus muncul sebagai destinasi pilihan pelaburan hijau dalam industri tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha mencapai matlamat itu memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, industri, pelabur, institusi akademik dan komuniti setempat.

Katanya, Malaysia mempunyai kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap tenaga bersih di rantau ini, disokong kedudukan geografi, asas perindustrian yang kukuh, infrastruktur sedia ada serta keupayaan tenaga boleh baharu yang semakin berkembang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semakin banyak syarikat antarabangsa menjadikan akses kepada bekalan elektrik yang stabil dan bersumberkan tenaga boleh baharu sebagai antara pertimbangan utama sebelum memilih lokasi untuk memulakan atau mengembangkan operasi.

“Perkara ini amat relevan dengan aspirasi Malaysia untuk membangunkan sektor semikonduktor, pembuatan termaju, infrastruktur digital dan pusat data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Ladang Solar Gading Kencana di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di sini.

Menurutnya, Malaysia perlu terus terbuka kepada idea baharu, melabur dalam pembangunan modal insan serta menjalin kerjasama strategik yang mampu memberikan nilai jangka panjang kepada negara.

“Peralihan tenaga merupakan agenda jangka panjang negara yang kejayaannya tidak hanya bergantung kepada satu kementerian, syarikat atau generasi, sebaliknya memerlukan komitmen bersama semua pihak.

“Kejayaannya bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk memikul tanggungjawab, menerima perubahan dan bekerjasama dalam merealisasikan masa depan tenaga yang lebih mampan.

“Projek ladang solar Gading Kencana bersama Intel Malaysia membuktikan hasil yang mampu dicapai apabila tanggungjawab itu dipikul secara bersama.

“Saya berharap projek ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan dan kerjasama strategik, selain mendorong syarikat tempatan untuk terus yakin dengan keupayaan sendiri dalam industri tenaga boleh baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, peralihan tenaga negara tidak seharusnya tertumpu kepada peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan transformasi keseluruhan ekosistem elektrik negara.

“Meskipun tenaga solar semakin penting dalam memenuhi keperluan campuran tenaga masa hadapan, sifat penjanaannya yang berubah-ubah memerlukan infrastruktur sokongan diperkukuh bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan boleh dipercayai.

“Justeru, pelaburan dalam pemodenan grid, pengurusan tenaga digital dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) akan menjadi semakin penting,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini