TNB ThunderStars juara MHL 2026 - Utusan Malaysia

TNB ThunderStars juara MHL 2026

TNB ThunderStars muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026- IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TNB ThunderStars menutup kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026 dengan kejayaan manis apabila dinobatkan juara liga meskipun tewas 1-2 kepada Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi terakhir di Stadium Hoki TNB, Bangi, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan ThunderStars gagal mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan, namun ia tidak menjejaskan kedudukan mereka di puncak carta liga selepas mengumpul 31 mata.

Sebaliknya, kemenangan THT memastikan pasukan dari Pantai Timur itu mengesahkan kedudukan naib juara dengan 27 mata, ketinggalan empat mata di belakang ThunderStars.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kapten ThunderStars, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berkata, kejayaan menjulang kejuaraan liga itu hadir hasil komitmen tinggi serta kerja keras semua pemain sepanjang musim ini.

Bagaimanapun, pemain itu mengakui kegagalan mengekalkan kemenangan dalam aksi terakhir berpunca daripada hilang fokus selain mensia-siakan beberapa peluang yang terhidang.

“Kami perlu memperbaiki kelemahan terutama pukulan sudut penalti, selain tahap fokus ketika beraksi supaya kesilapan sama tidak berulang dalam perlawanan akan datang,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai peningkatan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), Nik Muhammad Aiman menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya kepada atlet dalam acara berpasukan.

Anak jati Terengganu itu berkata, inisiatif tersebut sebagai satu pengiktirafan terhadap pengorbanan dan perjuangan atlet yang berusaha membawa kejayaan kepada negara menerusi sukan berpasukan.

“Saya sangat bersyukur kerana KBS dapat memperkenalkan inisiatif ini dan melihat perjuangan atlet yang bermain dalam sebuah pasukan. Terima kasih kepada KBS atas penghargaan yang diberikan,” ujarnya.

Bagaimanapun, tonggak tengah Speedy Tigers itu tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh sebelum insentif baharu diumumkan tanpa membandingkannya dengan ganjaran atlet acara individu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini