KUALA LUMPUR: Malaysia wajar memperketat pemantauan eksport komoditi utama seperti Indonesia bagi membendung amalan pengisytiharan invois rendah untuk mencegah ketirisan hasil kerajaan, kata pemain industri maritim.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, pendekatan negara jiran itu seharusnya mendorong Malaysia menilai semula keberkesanan sistem pemantauan eksport sedia ada.
Menurutnya, walaupun Malaysia mempunyai pelbagai sistem elektronik dan agensi berkaitan, penyelarasan serta perkongsian data perlu diperkukuh bagi memastikan nilai dan kuantiti kargo yang diisytiharkan sepadan dengan penghantaran sebenar.
“Mempunyai sistem digital penting tetapi lebih utama ialah memastikan maklumat dapat disemak silang bagi menentukan sama ada kuantiti dan nilai yang diisytiharkan dalam dokumen sepadan dengan barangan sebenar yang dieksport,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Bloomberg, Indonesia menerusi Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI), sebuah agensi di bawah dana kekayaan berdaulat Danantara, akan memantau eksport arang batu, minyak sawit dan ferroaloi bernilai kira-kira AS$60 bilion pada peringkat awal.
Agensi itu juga merancang mengenakan fi perkhidmatan beberapa dolar Amerika bagi setiap tan eksport, dengan kadar sebenar dijangka diumumkan pada Disember sebelum operasi penuh bermula Januari 2027.
Jeyenderan berkata pengisytiharan invois rendah (under-invoicing) merujuk kepada tindakan pengeksport mengisytiharkan nilai barangan lebih rendah daripada nilai sebenar, sekali gus berisiko menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai atau duti.
Langkah berkenaan bertujuan memperkukuh pemantauan eksport dan membendung amalan pengisytiharan invois rendah yang boleh menyebabkan pengeksport mengelak daripada membayar cukai atau duti sepenuhnya.
Jeyenderan berkata percanggahan antara maklumat yang diisytiharkan dengan penghantaran sebenar juga boleh mewujudkan persaingan tidak adil dalam kalangan peniaga dan menjejaskan keyakinan terhadap perdagangan komoditi negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan sistem sedia ada disepadukan dengan lebih baik bagi membolehkan pihak berkuasa menjejaki maklumat eksport, bermula daripada pengisytiharan barangan dan pemuatan kargo ke kapal sehingga penghantaran selesai.
“Langkah itu penting terutama bagi komoditi seperti minyak sawit dan petroleum yang membabitkan penghantaran dalam jumlah besar serta pelbagai pihak, termasuk pengeksport, syarikat perkapalan dan pengendali penyimpanan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis dan sarjana maritim Nazery Khalid berkata, agensi berkaitan perlu menghapuskan budaya kerja secara berasingan atau silo bagi memastikan urusan dokumentasi, pemantauan, pemeriksaan, pengujian dan penguatkuasaan eksport dilaksanakan dengan lebih berkesan dan telus.
Beliau berkata, teknologi digital juga perlu dimanfaatkan bagi memudahkan perkongsian data antara agensi dan meningkatkan ketelusan sepanjang rantaian bekalan.
“Ini akan membolehkan agensi terbabit membuat keputusan lebih tepat berdasarkan data, selain meningkatkan keyakinan terhadap sistem eksport dan perdagangan Malaysia.
“Langkah ini juga dapat mengurangkan risiko ketirisan hasil seperti cukai tidak dibayar dan aliran keluar tukaran asing yang tidak direkodkan, selain risiko terhadap kesihatan awam akibat pengisytiharan tidak tepat bagi kargo campuran seperti minyak sawit teradun,” katanya.-UTUSAN










