MELAKA: Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, empat kerusi yang dimenangi gabungan itu ialah Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, PH menerima keputusan berkenaan secara terbuka dan menghormati mandat yang diberikan rakyat Melaka.
Katanya, keputusan itu juga dianggap sebagai tanggungjawab demokrasi serta menjadi asas kepada gabungan berkenaan untuk memperkukuh usaha dan gerak kerja pada masa hadapan.
“Maka, berdasarkan keputusan tidak rasmi SPR, Pakatan Harapan memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita tandingi. Kerusi yang dimenangi adalah kerusi iaitu Kota Laksamana,Kesidang,Ayer Keroh dan Bandar Hilir.
“Pakatan Harapan menerima keputusan ini dengan terbuka dan menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat Negeri Melaka.
“Pakatan Harapan juga menerima keputusan ini sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab untuk memperkukuhkan lagi usaha dan gerak kerja kami di hadapan.
“Pakatan Harapan sentiasa percaya bahawa keputusan pilihan raya mempunyai dinamik tertentu dan boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini.
Adly berkata, semua wakil rakyat yang diberikan mandat oleh rakyat perlu menggalas amanah dengan berkhidmat kepada seluruh penduduk di kawasan masing-masing tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
Dalam pada itu, Adly turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada rakyat Melaka yang menunaikan tanggungjawab demokrasi pada PRN kali ini.
“Penghargaan turut diberikan kepada petugas SPR, anggota keselamatan, pengamal media serta ejen pengundian dan pengiraan undi yang menjalankan tugas di seluruh negeri,”katanya. – UTUSAN










