KUALA LUMPUR: Tinggal beberapa jam sebelum tirai Eurovision Song Contest Asia 2026 dibuka, penyanyi Aina Abdul merayu sokongan seluruh rakyat Malaysia bagi membantunya mengharumkan nama negara di pentas muzik antarabangsa.
Menerusi perkongsian video di Instagram, Aina mengakui perjalanan menuju pertandingan berprestij itu bukan mudah apabila terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Terus Hidup itu menyifatkan segala pengalaman dilalui sebagai satu proses pembelajaran yang memberikan kenangan bermakna sepanjang persiapannya menghadapi pertandingan berkenaan.
Menurut Aina, dia mengambil keputusan untuk tampil membuat luahan secara terbuka menerusi video berkenaan kerana amat mengharapkan sokongan orang ramai tanpa mengira sama ada mereka peminatnya atau sebaliknya.
“Ini mungkin kali pertama saya buat video seperti ini kerana saya tidak pernah meluahkan perasaan di hadapan kamera seperti ini. Tetapi hari ini saya sangat-sangat memerlukan sokongan daripada anda semua. Tak kisahlah anda minat saya atau tidak.
“Saya tahu dalam hidup ini, semua orang akan menyokong kita. Ada yang mungkin pernah dengar saya menyanyi, ada yang tidak pernah dengar dan mungkin ada juga yang tidak tahu siapa Aina Abdul,” katanya.
Dalam pada itu, Aina menyeru rakyat Malaysia supaya mengetepikan perbezaan dan bersatu memberikan sokongan kepada wakil negara yang bakal berentap di pentas antarabangsa itu.
“Jadi, di sini saya nak memanggil anda semua untuk berikan sokongan yang padu kepada saya. Sokongan yang tidak terhingga.
“Kalau saya tak dapat sokongan anda semua, siapa lagi nak sokong saya? Kita rakyat Malaysia kena tolong dan bantu anak jati Malaysia sendiri kerana ada seorang wakil untuk tahun ini.
“Jadi, kita sokonglah anak jati kita sendiri dengan sebaiknya menerusi doa dan sokongan yang tidak putus-putus,” ujarnya.
Bukan sekadar meminta sokongan moral, Aina turut mengajak orang ramai membantu menyebarkan maklumat mengenai pertandingan itu kepada kenalan serta ahli keluarga, termasuk mereka yang menetap di luar negara bagi mendapatkan undian.
Pada masa sama, penyanyi itu merakamkan penghargaan kepada kelab peminatnya, Aination, yang sanggup datang dari Malaysia ke Bangkok, Thailand, bagi memberikan sokongan secara langsung.
“Terima kasih kepada Aination yang sanggup datang jauh dari Malaysia ke Bangkok untuk menyokong saya dan tentunya kepada peminat-peminat yang menyokong dari jauh. Saya tahu setiap seorang daripada anda dan saya sangat menghargai usaha untuk memperkenalkan saya di mata dunia.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan artis yang memberikan sokongan terhadap penyertaan saya di Eurovision. Allah sahaja yang mampu membalas jasa anda,” katanya.
Terdahulu, Aina melancarkan lagu terbaharunya berjudul Bluest Sky yang bakal dipersembahkan pada pertandingan Eurovision Asia.
Lagu berkenaan bukan sahaja mendapat perhatian peminat tempatan, malah turut menerima reaksi positif daripada pendengar muzik antarabangsa.
Malah, beberapa peminat turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Aina untuk memberikan persembahan terbaik menerusi lagu berkenaan, sekali gus meletakkan harapan tinggi terhadap penampilannya.
Aina dijadualkan berentap pada 14 November ini di Bangkok, Thailand, dalam usaha membawa nama Malaysia ke pentas muzik antarabangsa.
Antara negara yang turut mengambil bahagian termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.











