Prinsip jadi taruhan di sebalik dua peletakan jawatan

Prinsip jadi taruhan di sebalik dua peletakan jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU ini bukan sahaja Malaysia malah negara jiran, Indonesia turut dikejutkan dengan perkembangan politik susulan peletakan jawatan Naib Presidennya, Gibran Rakabuming Raka selepas kontroversi berhubung kelayakan akademik beliau kembali menjadi perhatian.

Kontroversi itu tercetus apabila Mahkamah Perlembagaan Indonesia menyatakan tiada bukti meyakinkan bahawa Gibran memiliki diploma atau kelayakan pendidikan setaraf sekolah menengah atas.

Di Malaysia pula, Selasa lalu menyaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.

Dua perkembangan berbeza di negara berjiran dan Malaysia itu bagaimanapun mempunyai satu persamaan, iaitu keputusan pemimpin politik untuk meninggalkan jawatan masing-masing ketika berhadapan isu yang mencetuskan perdebatan dan perhatian masyarakat.

Bagaimanapun, kedua-dua peletakan jawatan itu didorong oleh faktor berbeza apabila Gibran berdepan kontroversi berkaitan kelayakan akademiknya manakala Anthony Loke mengambil keputusan berundur susulan perkemba­ngan keputusan mahkamah berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri.

Namun isu kelayakan akademik yang mencetuskan kontroversi membabitkan Gibran turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai integriti, ketelusan dan tahap penelitian terhadap syarat seseorang calon sebelum diberikan mandat untuk memegang jawatan tertinggi negara.

Di Malaysia, peletakan jawatan Anthony Loke pula membawa dimensi berbeza apabila keputusan itu berkait rapat dengan pendirian politik dan integriti beliau terhadap keputusan mahkamah berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib.

Namun paling utama adalah persoalan mengenai siapa yang bakal menggantikan kedua-dua pemimpin itu dan ia tidak sepatutnya mengatasi persoalan mengenai kemampu­an pengganti untuk meneruskan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Dalam konteks demokrasi, kelayakan seseorang pe­mimpin bukan sekadar memenuhi syarat undang-undang, malah membabitkan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang bertanggungjawab memastikan proses pemilihan berjalan secara telus dan berintegriti.

Pemimpin baharu juga tidak seharusnya sekadar dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan atau memenuhi kepenti­ngan politik tertentu.

Sebaliknya, mereka perlu memiliki keupayaan, pengalaman dan komitmen untuk memastikan setiap dasar kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai rakyat.

Akhirnya peletakan jawatan seseorang pemimpin tidak semestinya membawa perubahan serta-merta kepada kehidupan rakyat.

Ukuran sebenar bukan terletak pada siapa meletakkan jawatan atau siapa pengganti, tetapi sejauh mana perubahan kepimpinan itu mampu menghasilkan pentadbiran lebih cekap dan bertanggungjawab.

Rakyat tidak sekadar mahu menyaksikan pergolakan politik sebaliknya mahu melihat kehidupan menjadi lebih baik.

Juani Munir Abu Bakar adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia