MELAKA: Cadangan mengangkat Kota Laksamana sebagai ibu negeri baharu Melaka telah dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) sejak 2024 bagi membuka ruang kepada pembangunan pusat pentadbiran negeri yang lebih tersusun dan menyeluruh.
Calon PH kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai wakil rakyat sejak 2018 serta pemahamannya terhadap isu dan keperluan pembangunan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ia bukan sahaja dikemukakan secara terbuka, malah turut dibangkitkan dalam Sidang DUN dan mendapat respons positif Ketua Menteri.
“Saya dalam DUN ini, pertama kali dilantik atau pun dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada tahun 2018. Kali kedua pada tahun 2021. Jadi, saya memang tahu tentang isu-isu dalam kawasan saya.
“Maka, itulah antara sebab mengapa saya membawa satu cadangan supaya Kota Laksamana diangkat sebagai ibu negeri baharu pada tahun 2024. Cadangan ini bukan sahaja saya kemukakan secara terbuka, malah turut dibawa dalam persidangan DUN.
“Pada masa itu, Ketua Menteri Melaka telah memberikan maklum balas positif. Beliau bersetuju dengan cadangan saya. Saya pernah berjumpa dengannya semasa saya masih menjadi ADUN kerajaan,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Melvin Chua Kew Wei pada 14 November ini bukan sekadar menentukan wakil rakyat bagi DUN Kota Laksamana, tetapi berpotensi menjadi titik permulaan kepada usaha menjadikan kawasan itu sebagai ibu negeri baharu Melaka.
Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan jangka panjang untuk mentransformasikan Kota Laksamana sebagai pusat pembangunan baharu negeri, sekiranya rakyat memberikan mandat kepada calon MCA itu.
Chee Leong berkata, usaha merealisasikan cadangan berkenaan memerlukan perancangan rapi dan tempoh pelaksanaan yang panjang kerana membabitkan pelbagai aspek pembangunan infrastruktur.
“Dia (Ab. Rauf) berkata memang kerana ini satu perancangan yang kena kita buat perancangan yang rapi, tersusun, bukan hari ini kata esok dia akan jadi, dia akan ambil masa, agak-agak ambil masa. Sekurang-kurang lima tahun ke atas baru kita akan dapat hasillah.
“Hal ini kerana cadangan tersebut melibatkan pembangunan sebuah ibu negeri baharu, bukannya sekadar membina sebuah bandar atau mendirikan satu bangunan. Ia memerlukan perancangan menyeluruh merangkumi aspek bekalan air dan elektrik, rangkaian multimedia, jalan raya serta sistem perparitan dan pembetungan,” katanya. – UTUSAN









