Bayaran stesen TV tidak berubah selama enam tahun - Utusan Malaysia

Bayaran stesen TV tidak berubah selama enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penerbit filem dan drama tempatan berdepan dengan margin keuntungan yang kecil berikutan kadar bayaran stesen TV yang kekal statik dalam peningkatan kos produksi yang terus berlaku.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata, bayaran daripada stesen TV  kekal pada kadar yang sama selama enam tahun selepas dinaikkan kali terakhir pada 2020.

Menurutnya, sebuah telefilem yang dibayar pada kadar RM132,000 telah menelan kos pembikinan antara RM115,000 hingga RM120,000 yang menyebabkan baki keuntungan yang tinggal untuk syarikat penerbitan hanya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan domino kepada industri perfileman dan drama memandangkan kadar bayaran yang ditetapkan oleh stesen TV kerajaan juga lazimnya diikuti oleh stesen TV swasta.

“Kadar bayaran RTM naik pada 1 April 2020 selepas 30 tahun, tetapi sampai hari ini tidak ada lagi kenaikan. Sepatutnya setiap lima tahun kajian dibuat dengan mengambil kira perubahan ekonomi dan kos operasi.

“Bayaran sekarang untuk telemovie adalah RM132, 000. Kos pembikinan pula sekitar antara RM115,000 hingga RM120,000. Ketika ini, kos minyak, makanan, sewaan peralatan, bayaran kru dan artis semuanya meningkat. Sebagai penerbit, kos semakin tinggi tetapi margin keuntungan semakin kecil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jurey berkata, tekanan bertambah apabila stesen televisyen hanya membuat pembayaran selepas projek disiapkan atau mengikut perkembangan projek, sekali gus memberi kesan kepada aliran tunai syarikat produksi.

“Aliran tunai menjadi bermasalah kerana bayaran diterima selepas projek siap atau mengikut perkembangan projek. Keadaan ini akhirnya memberi kesan kepada kemampuan syarikat untuk terus beroperasi.

“Kadang-kadang, kru terpaksa dibayar selepas penerbit menerima bayaran daripada stesen TV. Ada juga penerbit yang bayar jumlah yang sedikit kepada kru-kru produksi. Inilah antara kekangan yang berlaku kepada penerbit sekarang,” katanya.

Tambah beliau, kesan itu akhirnya menjejaskan keseluruhan ekosistem industri apabila syarikat produksi semakin sukar mahu berkembang dan selain kru dan pelakon veteran khususnya kehilangan sumber pendapatan akibat kekurangan projek.

“Ramai penerbit membangkitkan soal survival syarikat kepada PTVM kerana modal tidak mencukupi untuk memperbaharui lesen syarikat dan sebagainya. Industri kita ini lebih bawah lagi dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS), macam kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Dari segi mahu tambah peralatan penggambaran dan tambah pekerja, kami sudah tidak mampu. Kalau tanya saya sendiri, ada empat hingga lima bulan saya tidak menjalani penggambaran dan bayangkan bagaimana syarikat hendak terus bertahan,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Radius One Sdn. Bhd., Hisham A. Karim, berkata, penerbit kini berdepan dilema apabila kos produksi meningkat kepada 30 peratus dan terdapat juga  artis pembantu yang tetap mahukan kadar bayaran mengikut harga mereka sendiri.

“Kos produksi saya boleh katakan meningkat sebanyak 30 peratus. Dalam bajet, kita sudah tetapkan peruntukan untuk hero, heroin dan pelakon pembantu, tetapi ada juga pelakon pembantu yang tetap mahukan kadar bayaran mengikut harga mereka,” ujarnya.

Hisham berkata, margin keuntungan syarikat produksi khususnya untuk drama pula ketika ini berada pada tahap yang amat rendah apabila keuntungan kasar kebanyakannya kurang daripada 13 peratus bagi setiap projek.

“Keuntungan kasar kami kurang daripada 13 peratus, sedangkan syarikat produksi masih perlu menanggung kos operasi, bayaran pekerja dan pelbagai perbelanjaan lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini