KEPULANGAN Datuk Seri Najib Tun Razak ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah dan peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan menjadikan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedikit panas.
Dua perkembangan ini ibarat memberi peluru kepada dua kem politik yang berbeza. UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai ruang untuk meniup semangat penyokong yang masih bersimpati dengan Najib manakala DAP pula boleh menggunakan tindakan Anthony sebagai bukti bahawa mereka masih berpegang pada pendirian politik sendiri.
Siapa sebenarnya yang sedang mengaut keuntungan? Bagi UMNO, kepulangan Najib pastinya bukan perkara kecil. Walaupun beliau tidak kembali memegang jawatan atau berada di pentas kempen, namanya masih mempunyai nilai sentimental dalam kalangan sebahagian penyokong parti. Tidak mustahil perkembangan tersebut menjadi suntikan moral kepada jentera UMNO yang sedang bekerja keras mempertahankan kerusi di Melaka.
Di pihak DAP pula, peletakan jawatan Anthony memberikan satu modal politik yang tidak kurang pentingnya. Anthony sudah mengambil tindakan seperti yang dijanjikannya sebelum ini. Dalam politik, tindakan seperti ini boleh membina persepsi bahawa seseorang pemimpin berani mempertahankan pendirian walaupun terpaksa melepaskan jawatan menteri. Ini boleh menjadi bahan untuk DAP mendekati pengundi bandar, khususnya di kawasan yang mempunyai perhatian tinggi terhadap isu integriti dan tadbir urus. DAP berpeluang mengingatkan pengundi bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan berhubung tahanan rumah Najib sehingga Setiausaha Agung sendiri sanggup meninggalkan Kabinet.
Tetapi adakah pengundi akan melihat Anthony sebagai wira politik? Belum tentu. Ada yang mungkin menghargai ketegasannya tetapi ada juga yang akan bertanya mengapa seorang menteri perlu melepaskan jawatan sedangkan tanggungjawab terhadap rakyat masih banyak yang perlu diselesaikan. Di sinilah menariknya pertembungan naratif kedua-dua pihak. BN boleh memainkan sentimen kesetiaan terhadap Najib manakala DAP boleh mengetengahkan prinsip dan pendirian terhadap isu integriti.
Satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan adalah kesan isu ini terhadap empat kerusi bandar yang menjadi perhatian DAP. Jika DAP berjaya meyakinkan pengundi bahawa tindakan Anthony mencerminkan ketegasan prinsip parti, isu ini mungkin membantu mereka mengekalkan sokongan. Sebaliknya, jika BN berjaya mengalihkan perhatian kepada rekod perkhidmatan dan pembangunan negeri, polemik berkenaan mungkin tidak memberikan kesan besar kepada keputusan pengundian.
Jadi, siapa menang secara moral? Najib mendapat apa yang diperjuangkan dari sudut pelaksanaan perintah tahanan rumah. Anthony pula melaksanakan pendirian politiknya dengan melepaskan jawatan. UMNO mendapat suntikan sentimen penyokong, sementara DAP mendapat peluang mengetengahkan naratif prinsip. Namun, jangan lupa, pilihan raya bukan pertandingan siapa paling lantang bercakap mengenai Najib atau siapa paling berani meletakkan jawatan. Dalam politik, kemenangan moral boleh diraikan sehari. Kemenangan pilihan raya pula perlu dibuktikan di peti undi.
Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Najib pulang: BN dapat modal, DAP dapat simpati?

Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved