Eva anggap kontroversi bersama Idan Aedan sebagai ujian - Utusan Malaysia

Eva anggap kontroversi bersama Idan Aedan sebagai ujian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Evanatie Sannie, 25, menganggap kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan pelakon, Idan Aedan, susulan dakwaan mereka memasuki sebuah hotel bersama-sama sebagai ujian awal sepanjang pembabitannya dalam industri seni.

Mengakui wanita yang diperkatakan dalam dakwaan berkenaan adalah dirinya, Evanatie bagaimanapun menegaskan cerita yang tersebar itu tidak benar dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Menurutnya, kontroversi berkenaan tidak menjejaskan hubungan baiknya dengan rakan-rakan lain dalam industri, malah mereka masih berkawan seperti biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia memang saya, tapi itu adalah fitnah semata-mata. Sebab begitulah apabila berada dalam industri ini, saya memahami macam-macam perkara akan kita lalui. Jadi, bagi saya itu adalah ujian.

“Kami semua okey dan saya dengan semuanya masih berkawan seperti biasa. Cuma mungkin itu ujian kami dalam industri ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Kacau di TGV KLCC, di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan menerima ugutan daripada bekas tunangnya, Evanatie berkata, perkara berkenaan sebenarnya sudah lama diselesaikan.

Katanya, dia memilih untuk menerima apa sahaja yang berlaku dan menganggap pengalaman itu sebagai sebahagian daripada dugaan dalam kehidupan.

“Sebenarnya, benda itu sudah lama selesai. Bagi saya, ada orang yang boleh terima, ada orang yang tidak boleh terima. Jadi, apa-apa pun, saya hadap saja. Benda itu pun dah lama dah tak ada sebenarnya.

“Sememangnya yang diugut itu dia (Idan), begitu juga dengan saya. Jadi, macam saya cakap, itu adalah ujian. Yang penting saya selamat dan kawan-kawan yang lain selamat,” katanya.

Ditanya sama ada kontroversi berkenaan memberi kesan terhadap emosinya, Evanatie berkata, dia tidak terlalu terkesan dan memilih meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya okey sahaja sebab dalam industri ini memang macam itu. Saya akan terima, saya akan jalani hidup macam biasa. Yang paling penting adalah ketenangan saya sendiri.

“Ya, saya akan berhati-hati sebab kita belajar daripada ujian itu,” katanya.

Dalam pada itu, Evanatie mengesahkan tindakan sudah diambil berhubung dakwaan ugutan yang diterimanya, namun enggan mendedahkan butiran lanjut kerana menganggap perkara itu sebagai urusan peribadi.

“Tindakan ada, sudah tentu ada. Tapi benda ini adalah privasi. Jadi, biarlah bertindak di belakang dan melalui saluran yang betul.

“Saya banyak berdoa dengan Tuhan juga untuk meminta keselamatan supaya benda-benda yang diugut itu tidak terjadi,” katanya.

Terdahulu, Idan Aedan dikaitkan dengan dakwaan memasuki sebuah hotel bersama seorang wanita yang dikatakan sudah bertunang, selepas rakaman yang didakwa menunjukkan pergerakan mereka keluar masuk premis berkenaan tular di media sosial.

Bagaimanapun, Idan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan hubungannya dengan wanita berkenaan tidak lebih daripada rakan sekerja.

Dalam perkembangan lain, Evanatie bakal membuat penampilan sulung menerusi filem Kacau dan menyifatkan peluang diberikan produksi Le Mediator Studio sebagai ruang untuk meneroka bidang lakonan.

Katanya, dia teruja apabila diberi peluang mencuba sesuatu yang baharu, selain mendalami seni perfileman tempatan.

“Ini adalah filem pertama saya dan jujurnya saya seronok. Sebab kita dapat mendalami seni-seni dalam negara kita, kita dapat mencuba sesuatu yang baharu.

“Sekarang saya tinggal di Kuala Lumpur dan saya betul-betul mahu mencuba kerana saya sudah jatuh cinta dengan lakonan,” katanya.

Kacau merupakan filem cereka kelima terbitan Le Mediator Studio selepas Prebet Sapu, Ninavau, Abah Saya Uncle Mike dan Luka.

Filem yang diinspirasikan daripada novel tulisan Ariff Adly itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 12 November ini.

Selain Evanatie dan Idan, filem berkenaan turut dibintangi Kerisyah Kemal, Fimie Don, Sadiq M Jamil, Arfie Shah dan Nurel Baharin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini