Harga getah bermaruah perlu ditingkatkan

Harga getah bermaruah perlu ditingkatkan

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka Risda Negeri Melaka 2026 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Alor Gajah, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu inisiatif harga getah bermaruah yang kini sekurang-kurangnya RM5 sekilogram ditingkatkan bagi memastikan kebajikan pekebun kecil getah terus terbela.

Beliau berkata usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tahun ini sahaja, memandangkan pekebun kecil getah telah sekian lama berdepan kesukaran untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Saya tidak mahu harga getah bermaruah ini hanya untuk tahun ini sahaja. Sebaliknya, ia perlu dikekalkan dan ditingkatkan kerana kita tahu pekebun kecil getah telah lama menghadapi kesukaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mempunyai azam tidak mahu lagi melihat pekebun kecil ini terus sengsara sepanjang hayat. Saya harap Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dapat membela nasib mereka supaya kehidupan mereka juga lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RISDA telah mengambil pendekatan lebih proaktif dengan berperanan sebagai pembeli utama bagi menawarkan harga getah bermaruah sekurang-kurangnya RM5 sekilogram kepada pekebun kecil.

Bagaimanapun, beliau meminta pengurusan RISDA supaya memperluas lokasi pembelian getah, khususnya pada peringkat daerah bagi memudahkan pekebun kecil menjual hasil mereka.

“Kita tidak mahu mengambil alih peranan pembeli getah lain, tetapi sejak RISDA diberikan amanah sebagai pembeli utama, alhamdulillah, nasib pekebun kecil di seluruh negara mula terbela,” katanya.

Ahmad Zahid juga telah meminta RISDA memperbanyakkan depot pengumpulan getah lateks bagi mengurangkan kebergantungan industri tempatan terhadap bekalan import, sedangkan Malaysia mempunyai kawasan tanaman getah yang luas.

Beliau berkata usaha memproses getah sekerap kepada lateks untuk kegunaan industri tempatan dapat membantu Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam menentukan harga getah, berbanding hanya bergantung kepada harga yang ditetapkan pembeli.

Timbalan Perdana Menteri berkata peningkatan permintaan terhadap getah asli, termasuk daripada kilang dalam dan luar negara turut membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid yakin RISDA dapat membantu menentukan harga getah berdasarkan keadaan pasaran dengan Malaysia berperanan sebagai pembekal. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini