Tutup sementara semua kawasan  berisiko kepala air

Tutup sementara semua kawasan  berisiko kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tragedi kepala air sehingga meragut nyawa berulang lagi. Insiden terbaharu berlaku di Sungai Pertak, Hulu Selangor, petang kelmarin. Setakat petang semalam, lima individu telah ditemukan meninggal dunia manakala tiga lagi masih hilang. 

Kejadian ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai langkah keselamatan di kawasan rekreasi dan perkelahan berisiko. Apa yang lebih membimbangkan, tragedi seumpama ini bukanlah kejadian terpencil malah ia sering berlaku.

Kebanyakan kejadian turut memperlihatkan persamaan daripada segi lokasi iaitu di kawasan perkelahan rekreasi air terjun dan sungai. Kehilangan nyawa akibat kepala air sepatutnya menjadi peringatan serius kepada semua pihak, khususnya agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mengurus serta memantau kawasan rekreasi terlibat.

Persoalan timbul kerana tragedi ini boleh dielak daripada berlaku sekiranya jika langkah awal diambil dengan menutup kawasan-kawasan berkenaan daripada dikunjungi orang awam. Ia  memandangkan negara kini sedang berhadapan musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya membawa hujan lebat. Sudah tentu Keadaan cuaca tidak menentu, hujan berterusan dan peningkatan paras air sungai boleh meningkatkan risiko berlakunya kepala air.

Ia juga selari dengan gesaan tegas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam iaitu supaya semua aktiviti perkelahan dan perkhemahan di kawasan berbukit dan air terjun dihentikan susulan peningkatan risiko kejadian kepala air dan cuaca tidak menentu yang boleh mengancam keselamatan pengunjung.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad juga berkata, permulaan MTL yang membawa hujan lebat berterusan meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh, kepala air dan kenaikan paras air sungai, sekali gus mengancam keselamatan pengunjung di kawasan rekreasi.

Jangkaan risiko tersebut juga ditambah dengan pandangan pakar Kejuruteraan Sungai, Hidrologi dan Pengurusan Risiko Bencana dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Dr. Azlinda Saadon iaitu fenomena alam kepala air lebih berisiko berlaku di kawasan berbukit dan bergunung-ganang yang mempunyai cerun curam serta lembangan tadahan kecil.

Katanya, keadaan muka bumi itu menyebabkan air hujan mengalir lebih cepat ke saluran sungai terutama ketika hujan turun dengan intensiti tinggi seterusnya menyebabkan perubahan air sungai yang tenang kepada aliran deras boleh berlaku dalam tempoh beberapa minit sahaja. Risiko-risiko ini mewajarkan penutupan kawasan-kawasan berkenaan ketika berlakunya Monsun Timur Laut ini. Tindakan perlu diambil perhatian juga pengusaha kawasan rekreasi dan pihak yang mengendalikan aktiviti pelancongan berasaskan sungai. 

Mana-mana pihak termasuk orang awam yang dikesan menceroboh dan berdegil berada di kawasan berisiko juga mesti diambil tindakan. Dalam hal ini, orang ramai juga perlu lebih peka terhadap risiko kepala air dan tidak mengambil mudah amaran cuaca.  Tragedi di Sungai Pertak seharusnya menjadi satu lagi peringatan bahawa langkah pencegahan perlu dilaksanakan sebelum kejadian berlaku.  Ingatlah bahawa nyawa manusia terlalu berharga untuk terus dipertaruhkan akibat kelemahan langkah keselamatan yang sebenarnya boleh diperbaiki.

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia