BN mendahului, PH tetap ada peluang

BN mendahului, PH tetap ada peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah memasuki minggu kedua sebelum hari mengundi pada 14 November depan. Selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan, ini adalah pilihan raya negeri yang ketiga pada tahun ini. Jika dua PRN terdahulu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), PRN Melaka juga dijangka kekal di tangan BN.

Walaupun ada penganalisis yang melihat Pakatan Harapan (PH) boleh memberi cabaran terutama di kerusi-kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti bawah 1,000 undi dalam PRN lalu tetapi keadaan hari ini sudah jauh berbeza. Ada 13 kerusi dalam kategori itu termasuk kerusi Ketua Menteri sendiri di Tanjong Bidara dan kerusi YB Helmi di Duyong.

Sejak PRN Johor dan Negeri Sembilan, PH memilih pendekatan ‘menyerang’ BN untuk memenangi hati pengundi. Strategi itu memang berkesan pada PRU-14 dan PRU-15 tetapi banyak faktor lain yang dekat dengan hati pengundi berlaku sejak itu dan mengubah pendirian sebahagian pengundi.

Serangan dengan bersandarkan isu sakau, Tabung Haji, Felda dan terbaharu isu paip gas di Sabah bukan tidak boleh dijadikan bahan kempen pilihan raya tetapi perlu berhati-hati dan tidak keterlaluan sehingga ternampak seperti terdesak tidak isu lain. Isu lain seperti kos sara hidup tidak boleh dibiarkan tenggelam.

Selain itu, dengan adanya media sosial, banyak taktik pilihan raya ‘zaman dulu’ sudah tidak boleh terpakai termasuk ceramah besar-besaran, taktik koyak atau bakar poster, buat provokasi dan sebagainya. Sebab itu, di Melaka, BN tidak nampak risau. Parti yang memenangi 21 kerusi pada PRN lepas mempunyai kelebihan berdasarkan ‘track record’ selama lima tahun untuk dijadikan sandaran.

Berbaki seminggu, PH tetap berusaha meyakinkan pengundi tetapi melakukan satu lagi ‘kesilapan’ dalam isu penangguhan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak. Peguam Negara mendakwa ada tafsiran undang-undang yang memerlukan penelitian mendalam. Apapun alasannya, kerajaan dilihat cuba mempolitikkan isu tersebut. 

Rakyat mempersoalkan mengapa Peguam Negara tidak bercakap soal implikasi undang-undang sejak Lembaga Pengampunan memperkenankan penahanan rumah Najib pada 18 September lalu, tiba-tiba mempertikaikannya selepas denda RM50 juta dibayar. 

Namun, PH masih ada peluang untuk menang dalam PRN Melaka jika bijak meraih sokongan pengundi muda lebih terbuka dan tidak cenderung menyokong sesebuah parti. Data SPR menunjukkan pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun adalah seramai 325,047 orang atau 47.3 peratus daripada keseluruhan pengundi di negeri tersebut.

Memasuki fasa akhir ini, strategi menawan kelompok ini harus dilakukan segera kerana undi mereka boleh mempengaruhi pola pengundian tetapi perlu menggunakan formula dan strategi yang benar-benar mampu menambat hati mereka.

Hakikatnya ialah semua pihak tahu data ini dan turut berusaha meraih sokongan mereka. 

Jadi, siapakah yang mampu mempengaruhi golongan ini atau mereka sudah pun ada pendirian masing-masing. Kita tunggu 14 November.

Ismail Daud adalah Pengarang Utusan Malaysia