PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah memberikan pengiktirafan atau sokongan rasmi kepada mana-mana pengendali perkhidmatan badal haji.
TH berkata, dakwaan oleh mana-mana pihak yang mengaitkan TH dan perkhidmatan badal haji tidak benar dan mengelirukan.
“Orang ramai dinasihatkan menyemak kesahihan dakwaan melalui saluran rasmi TH. TH berhak mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyalahgunaan nama dan logonya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan beberapa aduan diterima daripada orang ramai berhubung tawaran perkhidmatan badal haji oleh pihak tertentu yang didakwa mengaitkan perkhidmatan berkenaan dengan TH termasuk menerusi hantaran tular di media sosial.
Rabu lalu, media melaporkan garis panduan berkaitan khidmat badal haji sedang dirangka untuk dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dijadikan rujukan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kajian oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) bagi meneliti aspek kebolehlaksanaan perkhidmatan itu sama ada ditawarkan syarikat atau individu.
Pada masa sama, Jawhar dan TH akan terus menjelaskan mengenai badal haji melalui sesi penerangan, kesedaran dan hebahan melalui tazkirah di masjid dan surau, kempen di media sosial dan siri jelajah ke seluruh negara.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga menetapkan dasar ‘La Hajja Bila Tasrih’ yang bermaksud tiada haji tanpa permit, dengan menetapkan peraturan yang ketat bagi pelaksanaan ibadah haji termasuk keperluan memiliki visa dan permit haji yang sah.
Ketetapan itu perlu diberikan perhatian serius kerana pelaksanaan badal haji bukan saja tertakluk kepada syarat dan peraturan kerajaan Arab Saudi, malah membabitkan kos yang tinggi.
Marhamah turut menasihatkan masyarakat supaya menyemak latar belakang penyedia perkhidmatan, kesahihan tawaran dan maklumat penerima bayaran sebelum membuat sebarang transaksi. – UTUSAN











