Teknologi susu getah perlu disokong dengan bantuan modal

Teknologi susu getah perlu disokong dengan bantuan modal

Penggunaan teknologi dalam pengeluaran susu getah perlu disokong dengan bantuan modal, kemudahan peralatan dan pengurusan kebun secara berkelompok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penggunaan teknologi dalam pengeluaran susu getah perlu disokong dengan bantuan modal, kemudahan peralatan dan pengurusan kebun secara berkelompok.

Langkah sama bagi mengelakkan pelaksanaannya gagal seperti teknologi sama yang pernah diperkenalkan pada awal tahun 1980-an.

Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab. Rahman berkata, teknologi berkenaan amat dialu-alukan kerana berpotensi membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja ladang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia juga sebagai penyelesaian kekangan musim hujan yang menjejaskan aktiviti pengeluaran susu getah.

Namun jelasnya, pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran dengan memastikan segala masalah berkaitan pelaksanaan teknologi itu diselesaikan secara menyeluruh supaya penggunaannya dapat dikekalkan.

“Teknologi ini boleh membantu mengatasi isu kekurangan tenaga pekerja ladang dan juga musim hujan.

“Teknologi berkenaan pernah diperkenalkan pada awal 1980-an, namun tidak kekal lama. Oleh itu, pihak yang berkenaan hendaklah memastikan segala masalah yang timbul diselesaikan secara tuntas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan kerajaan membangunkan kira-kira 50 depoh susu getah atau lateks tahun depan bagi memperkukuh pengeluaran hasil getah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import lateks.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha mempergiat pengeluaran lateks dalam negara bagi memenuhi keperluan industri berasaskan getah dengan nilai import bahan berkenaan kini mencecah RM7 bilion setahun.

Mengulas lanjut, Kameruzaman memberitahu, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah memastikan bekalan peralatan, khususnya bahan gas, selain menyediakan bantuan modal kepada pekebun untuk membeli peralatan berkenaan.

Katanya, peralatan yang dibekalkan juga perlu berkualiti dan ditawarkan pada harga berpatutan selain dilengkapi langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian kecurian serta kerosakan akibat haiwan perosak seperti kera.

Kameruzaman berkata, PUGBM mencadangkan supaya pengurusan kebun getah dilaksanakan secara berkelompok menerusi koperasi yang diberikan geran bagi membiayai permulaan operasi.

Malah, katanya, koperasi juga perlu disediakan dana untuk memiliki kilang memproses lateks ladang kepada lateks pekat bagi menyokong rantaian pengeluaran dan pempro­sesan hasil getah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini