KUALA LUMPUR: Pelakon, Farah Ahmad meluahkan rasa kurang senang apabila ada pihak mendakwa penggiat seni tertentu hanya menumpang populariti industri hiburan tanah air.
Menurut Farah, industri seni Malaysia sudah lama bertapak dan berkembang sebelum kemunculan generasi baharu, malah ramai anak seni terdahulu pernah membawa nama negara ke peringkat antarabangsa menerusi pelbagai bidang termasuk lakonan, tarian, muzik dan silat.
Farah berkata, kejayaan penggiat seni terdahulu tidak seharusnya dipandang ringan kerana mereka sudah melalui pelbagai cabaran dan pengorbanan demi memastikan industri seni terus berkembang.
“Pantang betul bila orang kata menumpang populariti ini. Sebelum mereka lahir, industri seni sudah wujud. Dah banyak keluar negara wakil Malaysia, baik lakonan, tari, muzik, silat, semualah. Dan kau tahu tak yang pergi semua ada warna Malaysia.
“Bukan sekadar jaguh kampung yang kau nak jerit-jerit. Bezanya sekarang zaman media sosial. Industri seni dah jadi industri perniagaan,” katanya di Threads.
Tambah Farah, industri seni bukan sekadar berkisar mengenai hiburan, sebaliknya mempunyai ekosistem tersendiri yang memerlukan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak.
Jelasnya, sumbangan penggiat seni tidak seharusnya diukur berdasarkan populariti atau perhatian yang diterima di media sosial semata-mata.
“Kau ingat kalau tak ada orang dulu yang keluar peluh menghadapi peritnya seni ini, kau rasa seni ini ada ke? Itu pasal tahu dulu seni ini apa. Bukan hiburan semata-mata meloncat-loncat, melayan nafsu sahaja.
“Ekosistem dalam kehidupan ini perlukan rantaian untuk berganding bahu. Bukan semata-mata yang kau jerit-jerit itu,” katanya.
Dalam masa sama, Farah turut menyindir tindakan segelintir pihak yang terlalu lantang bersuara tanpa memahami sumbangan sebenar penggiat seni terhadap pembangunan industri berkenaan.
Malah, dia turut mempersoalkan sama ada tindakan sedemikian benar-benar memberi kesan kepada penyaluran dana kerajaan kepada industri seni.
“Kalau kau rasa jeritan kau itu yang membuat kerajaan ini bagi dana berjuta dalam industri ini, baik kau pergi belajar vokal dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Farah menegaskan setiap individu mempunyai pilihan untuk menambah ilmu dan memperbaiki diri, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah memperlekehkan usaha serta sumbangan penggiat seni terdahulu.











