Dokumen Perintah Pelepasan Najib mempunyai kecacatan rujukan undang-undang?

Dokumen Perintah Pelepasan (Order of Discharge) Najib mempunyai kecacatan rujukan undang-undang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dokumen Perintah Pelepasan atau Order of Discharge berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didakwa mengandungi beberapa kesilapan rujukan peruntukan undang-undang sehingga menimbulkan persoalan mengenai ketepatan skop perintah berkenaan.

Analisis terhadap dokumen itu mendakwa terdapat kecuaian apabila hanya Seksyen 409 Kanun Keseksaan disenaraikan sebanyak tiga kali, sedangkan sabitan dan hukuman dalam kes berkenaan turut melibatkan dua peruntukan undang-undang lain.

Pengguna platform X, Nazril Iznil mendedahkan analisis tersebut, sabitan Najib merangkumi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun katanya, kegagalan menyenaraikan pertuduhan di bawah AMLA dan Akta SPRM dalam dokumen berkenaan didakwa menyebabkan skop sebenar sabitan yang berkaitan tidak digambarkan secara menyeluruh.

“Analisis itu turut menegaskan bahawa dari sudut perundangan, sesuatu perintah pelepasan atau pembebasan perlu menyatakan secara tepat dan lengkap pertuduhan khusus yang menjadi subjek perintah tersebut.

“Isu lebih kritikal yang dibangkitkan ialah berkaitan hukuman denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib,” katanya.

Menurut analisis itu, hukuman denda berkenaan hanya terikat dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan bukannya pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Justeru, hukuman penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 409 tidak boleh disamakan dengan hukuman denda RM210 juta kerana kedua-duanya melibatkan peruntukan undang-undang yang berbeza.

Analisis itu mendakwa, sekiranya dokumen Order of Discharge hanya merujuk Seksyen 409 tetapi pada masa sama mengaitkannya dengan struktur hukuman atau implikasi kewangan yang sebenarnya berpunca daripada pertuduhan di bawah Akta SPRM, keadaan itu boleh menimbulkan percanggahan dari sudut perundangan.

Malah, kegagalan memasukkan peruntukan yang berkaitan dengan hukuman denda tersebut turut dibangkitkan sebagai satu lagi persoalan yang memerlukan penjelasan.

Menurut analisis berkenaan, ketidaktepatan rujukan seksyen undang-undang berpotensi menjejaskan kesempurnaan fasal dalam dokumen perintah berkenaan.

Sehubungan itu, ketepatan kandungan dan skop sebenar Order of Discharge perlu diteliti bagi memastikan setiap pertuduhan serta implikasi hukuman yang berkaitan dinyatakan dengan jelas dan tidak menimbulkan kekeliruan dari sudut undang-undang.

Sementara aktivis Liyana Marzuki berkata, penelitian terhadap dokumen itu menimbulkan persoalan mengenai ketepatan penyediaannya, khususnya penggunaan nama, rujukan seksyen undang-undang dan kandungan syarat yang dilampirkan bersama perintah berkenaan.

Menerusi satu hantaran media sosial, beliau yang juga seorang peguam menyifatkan kandungan dokumen itu sebagai mengelirukan dan mempersoalkan bagaimana kesilapan sedemikian boleh berlaku dalam perintah mahkamah membabitkan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

“Peguam-peguam yang mula-mula dulu membantai Peguam Negara (AG), sekarang sudah mula beri komen betapa teruknya perintah tersebut. Ayat caca marba, silang rujukan seksyen tak ada kena mengena. Nama pesalah pun berterabur,” katanya.

Bagaimanapun, kata Liyana, perkara yang paling menarik perhatian ialah dakwaan wujudnya kekeliruan dalam klausa berkaitan tindakan terhadap Najib sekiranya beliau melanggar syarat tahanan rumah.

Menurutnya, dokumen itu menyatakan bahawa perintah tahanan rumah boleh terbatal sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi, sekali gus membolehkan Najib dikembalikan ke penjara atau ditempatkan di lokasi lain yang ditentukan Ketua Pengarah Penjara.

Namun, beliau mendakwa terdapat satu lagi klausa yang membolehkan Najib terus menetap di kediamannya di Langgak Duta.

“Kalau Datuk Seri Najib langgar syarat tahanan rumah, perintah ini jadi terbatal. Maka dia kena masuk balik penjara atau mana-mana tempat yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Penjara.

“Tetapi tiba-tiba ada klausa, dia boleh tinggal sahaja di rumah Langgak Duta. Apa ke bendanya ini,” soalnya.

Liyana mempersoalkan bagaimana kedua-dua peruntukan itu perlu ditafsirkan dan sama ada terdapat percanggahan dalam arahan mengenai kedudukan Najib sekiranya berlaku pelanggaran syarat tahanan rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini