KUANTAN: Pahang menjadi antara pasaran sasaran penting Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha memperluas promosi destinasi pelancongan negeri itu menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi Program Truly Terengganu Tour 2026 yang membawa pendekatan promosi secara bergerak dan bersemuka.
Ia bagi memperkenalkan produk serta pakej pelancongan Terengganu kepada masyarakat dan pemain industri di luar negeri berkenaan.
“JPNT mengambil peluang membuka reruai promosi selama tiga hari sempena penganjuran World Islamic Tourism Conference & Mart (WITC 2026) yang berlangsung di sini dan berakhir esok,” katanya pada majlis prapelancaran Visit Truly Terengganu 2027 sempena WITC 2026 di sini semalam.
Razali berkata, penyertaan dalam WITC 2026 dilihat sebagai platform strategik untuk mendekati pemain industri pelancongan, agensi kerajaan, pengusaha hospitaliti serta pihak berkepentingan, khususnya dalam memperkenalkan potensi pelancongan mesra Muslim kepada pasaran lebih luas.
“Program Truly Terengganu Tour 2026 turut memberi tumpuan kepada enam kluster utama pelancongan negeri itu merangkumi pusat bandar Kuala Terengganu, pulau dan pantai, seni, warisan dan budaya, alam semula jadi, Kenyir Geopark serta pelancongan Islam.
“Antara destinasi dan produk pelancongan yang diketengahkan termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Tasik Kenyir, Jambatan Angkat, Kampung Budaya Terengganu serta kraftangan songket dan batik,” katanya.
Selain itu katanya, promosi secara langsung menerusi konvoi motosikal berkuasa tinggi dan persembahan kebudayaan, program itu turut menyediakan ruang pertemuan perniagaan (B2B) antara agensi pelancongan Terengganu dengan pemain industri di lokasi yang dilawati.
“Pendekatan itu bertujuan membuka peluang kerjasama pemasaran dan penjualan pakej pelancongan, selain membina jaringan strategik dengan pengusaha hotel, persatuan pelancongan serta agensi berkaitan.
“Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan kehadiran kira-kira 15 juta pengunjung dan pelancong menerusi pelbagai inisiatif promosi serta pembangunan produk pelancongan.
“Sehingga September lalu, jumlah kedatangan pengunjung dan pelancong ke negeri itu dianggarkan mencecah 8.5 juta orang, manakala angka berkenaan dijangka meningkat kepada 12 juta menjelang akhir tahun ini,” tambahnya. – UTUSAN








