KUALA LUMPUR: Kematangan Aaron Tai dalam gelanggang menjadi antara faktor yang memudahkan proses membentuk keserasian bersama gandingan baharunya, Yap Roy King dengan kedua-dua pemain itu kini memberi tumpuan meningkatkan ranking bagi melayakkan diri ke Terbuka Malaysia, tahun depan.
Roy King berkata, pengalaman Aaron yang dilihat lebih matang daripada usianya telah banyak membantunya membentuk keserasian dengan cepat, namun mengakui dirinya masih perlu banyak belajar untuk memperbaiki mutu permainan.
“Sebagai pasangan Aaron, saya pun masih belajar. Sebelum ini ketika bergandingan dengan Tee Kai Wun, saya rasa banyak perkara yang perlu dipelajari secara berperingkat.
“Saya bukanlah pemain yang sudah cukup mantap. Saya rasa kehadiran Aaron banyak membantu membentuk gandingan ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, semalam.
Mengulas mengenai sasaran, Roy King memberitahu, dia tidak mahu meletakkan tekanan terlalu tinggi sebaliknya memilih untuk membina keserasian secara berperingkat menerusi setiap kejohanan.
“Setakat ini, saya hanya mahu berterima kasih kepada jurulatih kerana menyediakan gandingan ini. Saya dan Aaron juga sudah berbincang untuk mengorak langkah demi langkah, bermain dan belajar daripada setiap perlawanan,” ujarnya.
Jelas Roy King, kedua-dua mereka mempunyai corak permainan menyerang yang dilihat sesuai untuk digabungkan dalam gelanggang dan menjadi kelebihan membentuk kombinasi mantap.
Dalam pada itu, pemain berusia 25 tahun itu berkata, keutamaan mereka menjelang penghujung musim ini adalah memperbaki ranking dunia bagi mendapatkan tempat ke Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000.
“Kami mahu meningkatkan ranking terlebih dahulu menjelang penghujung tahun ini supaya dapat beraksi pada Terbuka Malaysia tahun depan. Itu sasaran kami buat masa ini,” katanya yang mengesahkan akan menyertai Jepun Masters, minggu depan.
ends.











