KUALA LUMPUR: Berasal dari Limbang, Sarawak, Aryan Putra Entertainment (APE) kini melangkah lebih jauh dalam industri muzik tempatan menerusi usaha mengembangkan karya serta menjalinkan kerjasama dengan penggiat seni di Semenanjung Malaysia.
Label muzik yang diasaskan pasangan suami isteri, Sufian Mohat dan Siti Maryam Fadil itu bermula daripada kecintaan terhadap seni, sastera dan budaya masyarakat di tempat kelahiran mereka.
Menurut Sufian, kepelbagaian budaya, pesta dan kehidupan masyarakat Limbang menjadi sumber inspirasi kepada karya awal APE sebelum mereka berhasrat memperkenalkan daerah berkenaan kepada pendengar di seluruh negara.
Kini, APE mula meneroka pelbagai pendekatan muzik di luar genre etnik dan keraian menerusi kerjasama dengan penerbit muzik, Rudy Nastia dari Mixbro Studio, selain nukilan lirik oleh Sufian sendiri.
Pasya dan Uchop Ahmad pula dipilih sebagai rakan kerjasama awal bagi projek berkenaan.
Sufian berkata, kerjasama itu membuka peluang untuk mengembangkan penulisannya menjadi sebuah karya muzik dan visual menerusi sokongan pasukan A*CAP yang diselia Kimmy Khir selaku penasihat projek.
Beliau turut menyuarakan hasrat membawa pasukan berkenaan ke Limbang bagi berkongsi pengalaman serta meneroka penghasilan karya bersama penggiat seni tempatan.
Dalam pada itu, penganjuran AIM25 di Sarawak, termasuk pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik dan pengiktirafan menerusi kategori Lagu Etnik Terbaik, turut menjadi dorongan buat APE untuk terus berkarya.
Sufian berharap usaha berkenaan dapat memperluas jaringan kreatif mereka, sekali gus membawa nama Limbang lebih jauh menerusi muzik.











