Calon PN Kesidang buat laporan terhadap Peguam Negara

Calon PN Kesidang buat laporan terhadap Peguam Negara

ALBERT KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Albert Kok membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhubung isu penangguhan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Albert berkata, ia bagi menggesa pihak polis menyiasat tindakan yang didakwa menghalang pelaksanaan titah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Ketika berada di bilik gerakan DUN Kesidang di Taman Malim Jaya, saya membaca berita mengenai pegawai Datuk Seri Najib yang membuat pembayaran RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi dan memperoleh perintah untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, ketika beliau dibawa keluar dari Penjara Kajang dan dalam perjalanan menuju ke kediamannya, Peguam Negara mengeluarkan arahan untuk menangguhkan serta menghalang pelaksanaan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Albert mendakwa, tindakan itu menyebabkan Najib dinafikan hak untuk menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah seperti yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut mempersoalkan bidang kuasa Peguam Negara untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan, selain mendakwa tindakan itu perlu disiasat dari sudut undang-undang.

Katanya, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menggesa polis menjalankan siasatan secara telus, cekap dan bebas tanpa dipengaruhi atau dicampuri mana-mana pihak berkuasa serta individu berkepentingan.

“Saya membuat laporan ini bagi mempertahankan kuasa Raja-Raja Melayu yang telah diingkari dan dihina melalui tindakan berkenaan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya ia melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini