IPOH: Dua beradik tiri maut apabila kenderaan mereka naiki terbabas di Kilometer 388 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Tanjong Malim, hari ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Khalid Mohamad, berkata remaja perempuan berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kanak-kanak perempuan berumur enam tahun yang parah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River.
Beliau berkata pemandu, iaitu lelaki berusia 27 tahun serta seorang lagi penumpang wanita berumur 20 tahun cedera dan dibawa ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, sebuah kenderaan dalam perjalanan dari Perlis menghala ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid berkata, siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Beliau berkata saksi yang berada di lokasi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Taufiq Abd Aziz di talian 016-4184507 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berkaitan kemalangan itu pada 8.35 pagi.











