KUALA SELANGOR: Semua kelulusan projek pembangunan di Selangor akan diteliti semula bagi memastikan tiada pemaju mengabaikan keperluan mitigasi banjir sehingga meningkatkan risiko kejadian itu di kawasan berhampiran.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu antara usaha kerajaan negeri bagi memastikan risiko banjir dapat dikurangkan serta kejadian sama tidak berulang di kawasan terjejas.
“Yang di Bukit Cherakah mungkin memberi kesan kepada Puncak Alam. Yang itu di kawasan Bukit Cherakah tiada kejadian banjir, Alhamdulillah. Yang di sini UiTM Puncak Alam titiknya di sini.
“Saya akan minta semak balik segala kelulusan yang telah kita benarkan termasuk mensyaratkan mereka pemaju membuat tadahan air sementara dan kita juga tidak mahu mereka melakukannya secara sambil lewa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi kolam tadahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini semalam.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa isu lain yang menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan seperti Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.
Beliau berkata, antara isu itu ialah aktiviti vandalisme di ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 yang menyebabkan ia menjadi lebih rendah daripada spesifikasi asal di sesetengah bahagian selain limpahan daripada Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
“Saya sudah minta isu vandalisme ditangani dengan segera dan kita akan ambil tindakan terhadap operasi haram di sana, dan ada beberapa proses perobohan yang terpaksa dilakukan.
“Perobohan itu untuk jadikan gazet kawasan tadahan air atau dataran banjir di dua tempat yang kita kenal pasti yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Mengenai sebuah masjid di sini yang sering dilanda banjir, Amirudin berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak pentadbiran masjid sama ada untuk meninggikan atau memindahkan kerana kawasan terbabit ialah kawasan rendah dan menerima limpahan Sungai Subang.
“Itu (banjir) ialah limpahan Sungai Subang yang mengalir ke Merbau Sempak, Sungai Buloh dan akhirnya sampai ke sini. Itu pergerakan air sejak dahulu, dari Gombak atau Petaling dan sebahagiannya ke kawasan Ijok atau Kuala Selangor,” katanya.
Menurut Amiruddin, kadar hujan sehingga 103 milimeter (mm) turun pada petang semalam didakwa menjadi punca kepada kejadian banjir yang berlaku di sekitar Bandar Puncak Alam dan juga Ijok
Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri ini, limpahan air dari situ turut mengalir ke kawasan seperti di Hillpark dan Taman Seri Alam, Saujana Utama.
“Semalam dianggarkan lebih 100 mm hujan turun dan saya sedang mencari penyelesaian supaya kalau berlaku lagi hujan sedemikian bagaimana kita akan tangani sebab yang di bawah Hillpark menerima limpahan air di kawasan ini UiTM Puncak Alam.
“Di Puncak Alam berlaku dua kejadian banjir pada 4 dan 5 November kemudian ada air dari daerah Petaling mengalir melalui Sungai Subang yang memberi kesan kepada Kampung Melayu Subang dan Merbau Sempak yang akhirnya sampai ke Saujana Aman dan beberapa kawasan lain,” katanya. – UTUSAN











