HULU KELANG: Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam, 73, tidak terlepas daripada dakwaan menggunakan ‘kabel’ bagi memastikan drama arahannya terus mendapat tempat di kaca televisyen, khususnya menerusi kejayaan siri popular, Gerak Khas.
Bagaimanapun, Yusof menegaskan, kejayaan drama terbitannya bukan disebabkan hubungan istimewa dengan mana-mana pihak, sebaliknya berdasarkan sambutan penonton yang memberangsangkan.
Menurutnya, dakwaan kononnya dia mempunyai ‘kabel’ bukan perkara baharu, malah sudah lama dilemparkan sejak drama terbitannya kerap menghiasi siaran televisyen.
“Ini bukan kali pertama saya dikatakan menggunakan kabel, dari dulu lagi sebenarnya.
“Sehingga ada menteri datang kepada saya mengadu letih melayan kerenah orang yang membuat aduan kerana drama saya terlalu kerap ditayangkan.
“Saya sendiri pernah terfikir untuk tidak meneruskannya, tetapi rating Gerak Khas sangat bagus sehingga menjadi program ‘anchor’. Sebab itu stesen RTM ketika itu tidak boleh menghentikan drama berkenaan,” katanya.
Yusof berkata demikian ketika ditemui pada Forum Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) bersama seniwati Noor Kumalasari, di sini, petang semalam.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, Yusof berkata, kejayaan Gerak Khas yang berjaya mencapai 2,000 episod menjadi antara pencapaian terbesar sepanjang pembabitannya dalam industri seni.
Malah, dia mengakui perjalanan dalam dunia penerbitan bermula menerusi drama sejak 1985, termasuk siri Remang-Remang Kota Raya, sebelum membuka peluang lebih luas untuknya menceburi bidang perfileman.
Ditanya sama ada masih mahu meneruskan penerbitan drama, pemilik Skop Production itu berkata, bidang berkenaan tetap menjadi cinta pertamanya meskipun pulangan yang diperoleh tidak sebesar penerbitan filem.
“Selagi ada rezeki untuk buat drama, saya akan teruskan. Sekurang-kurangnya kru dan pekerja saya ada pekerjaan yang mereka boleh buat,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof tidak menaruh harapan tinggi untuk dua anaknya yang kini berjaya bergelar pengarah filem menyambung legasi penerbitan drama yang dibinanya sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, dia sudah menerima hakikat sekiranya tiada antara anaknya yang berminat mengambil alih tanggungjawab menguruskan penerbitan drama.
“Saya pasrah jika tiada yang mahu teruskan. Isteri (Datin Patimah Ismail) pun ada mengatakan perkara sama.
“Isteri kata dia nampak jerih perih saya bekerja siang malam menjaga syarikat, tetapi dia tidak nampak anak-anak akan meneruskannya.
“Saya sudah berusaha sedaya upaya dan disebabkan drama, timbul peluang menerbitkan filem hingga mampu memberikan keluarga kehidupan selesa serta menanggung puluhan pekerja.
“Jadi, sekiranya tiada yang mahu meneruskan legasi menerbitkan drama, tidak mengapa. Saya pasrah,” katanya. -UTUSAN









