DAP akui BN-PN cabaran besar PH di Melaka

DAP akui BN-PN cabaran besar PH di Melaka

ANTHONY Loke Siew Fook berucap pada Majlis Makan Malam Harapan di Sekolah Menengah Pay Fong, Melaka malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gabungan kekuatan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini merupakan cabaran besar kepada Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerjasama itu membolehkan BN-PN menyatukan sokongan tradisi masing-masing tanpa perlu bersaing sesama sendiri.

Menurutnya, keadaan itu menjadi cabaran kepada PH kerana penyokong kedua-dua pihak kini boleh memberikan sokongan kepada calon sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ya, memang satu cabaran sebab apabila mereka menggabungkan kekuatan mereka, jadi sudah tentu masing-masing ada sokongan tradisi mereka, masing-masing ada penyokong teras mereka.

“Jadi, apabila mereka tidak bertanding antara satu sama lain dan mereka meminta penyokong masing-masing untuk memberikan sokongan kepada calon mereka.

“Maka ini satu kekuatan yang akan memberikan cabaran kepada kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Harapan di sini, malam tadi.

Anthony berkata, PH akan terus berusaha mendapatkan sokongan pengundi dengan mengetengahkan kempen positif berasaskan pencapaian Kerajaan Persekutuan yang dipimpin gabungan itu.

Katanya, meskipun mengakui persaingan kali ini mencabar, PH tetap akan memberikan tumpuan untuk mempertahankan kerusi yang mempunyai kekuatan sokongan tersendiri.

“Kita berkempen atas satu kempen yang positif berkenaan dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh PH.

“Jadi kita harap bahawa penyokong ataupun pengundi-pengundi memberikan sokongan kepada PH.

“Walaupun kita tahu bahawa agak mencabar apabila mereka menggabungkan kekuatan antara BN dan PN,” katanya.

Beliau berkata, DAP memberikan tumpuan untuk mempertahankan empat kerusi disandangnya iaitu Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kesidang dan Ayer Keroh.

Katanya, tiga daripada kerusi berkenaan berada dalam kawasan Parlimen Kota Melaka yang mempunyai sokongan tradisi sejak sekian lama.

Tambahnya, selain empat kerusi berkenaan, DAP turut bertanding di tiga lagi kerusi yang diakui mempunyai cabaran hebat.

“Tiga lagi kerusi yang kita bertanding memang kita tahu ada cabaran yang kuat. Namun, begitu kita akan berusaha untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini