KEMENANGAN Parti Demokrat dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) semalam membawa perubahan besar kepada landskap politik negara itu apabila parti berkenaan berjaya merampas kawalan kedua-dua dewan Kongres daripada Parti Republikan.
Keputusan itu bukan sekadar kejayaan pilihan raya, sebaliknya menjadi tamparan politik kepada Presiden Donald Trump yang sebelum ini menikmati sokongan majoriti Republikan di Kongres untuk melaksanakan agenda pentadbirannya.
Kejayaan Demokrat menguasai Dewan Perwakilan dan Senat mewujudkan situasi kerajaan berpecah, apabila Presiden terpaksa berhadapan cabang perundangan dikuasai parti lawan.
Perubahan itu penting kerana Kongres mempunyai kuasa meluluskan undang-undang, menentukan peruntukan kewangan kerajaan serta menjalankan pengawasan terhadap pentadbiran eksekutif.
Antara kesan paling ketara ialah keupayaan Demokrat menyekat atau melambatkan pelaksanaan agenda Trump, khususnya berkaitan dasar ekonomi, imigresen, perdagangan dan hubungan luar.
Sebelum ini, penguasaan Republikan di kedua-dua dewan memberikan ruang lebih luas kepada Trump untuk mendapatkan sokongan terhadap rang undang-undang yang dibawanya. Namun dengan perubahan majoriti, pentadbirannya perlu berhadapan rundingan lebih sukar bagi mendapatkan sokongan Kongres, sekali gus berpotensi menyebabkan kebuntuan dalam proses penggubalan dasar.
Lebih penting, kemenangan Demokrat membuka ruang kepada peningkatan siasatan terhadap pentadbiran Trump melalui jawatankuasa Kongres. Penguasaan jawatankuasa membolehkan wakil rakyat Demokrat memanggil pegawai kerajaan untuk memberikan keterangan, mendapatkan dokumen melalui proses sepina serta meneliti keputusan dan tindakan pentadbiran.
Perkara itu berpotensi meletakkan Trump dalam tekanan politik berterusan, terutama jika siasatan menyentuh isu penggunaan kuasa Eksekutif, perbelanjaan kerajaan atau ketelusan pentadbiran.
Dalam konteks ini, kemungkinan proses pemecatan Presiden juga boleh kembali menjadi perbahasan politik di Washington. Dewan Perwakilan mempunyai kuasa memulakan proses pendakwaan terhadap Presiden, manakala Senat bertanggungjawab menjalankan perbicaraan dan menentukan keputusan.
Dari sudut pengundi, keputusan itu turut memberikan gambaran mengenai ketidakpuasan sebahagian rakyat terhadap hala tuju pentadbiran Trump selepas hampir dua tahun memegang penggal kedua sebagai Presiden AS.
Isu kos sara hidup, kebimbangan ekonomi, perang dengan Iran serta dakwaan berkaitan tadbir urus menjadi antara faktor yang dilaporkan mempengaruhi sentimen pengundi. Kemenangan Demokrat di beberapa kawasan yang secara tradisinya menjadi kubu kuat Republikan termasuk Texas, Kansas dan South Carolina, menunjukkan perubahan sokongan yang melangkaui kawasan persaingan politik biasa.
Kesan perubahan politik itu juga dijangka dirasai dalam dasar luar AS memandangkan Senat mempunyai peranan penting dalam mengesahkan pelantikan pegawai kanan kerajaan dan perjanjian antarabangsa tertentu.
Persoalan utama selepas ini ialah sejauh mana Demokrat mampu menggunakan kuasa baharu itu untuk mengawal pentadbiran Trump, sedangkan Republikan masih menguasai Rumah Putih sehingga berakhirnya penggal Presiden pada 2029.
Juani Munir Abu Bakar adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN
Apa erti tsunami gelombang biru di AS?

Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved