Ekosistem keusahawanan UTHM pacu syarikat terbitan mahasiswa rangkul juara UTC 3.0

Ekosistem keusahawanan UTHM pacu syarikat terbitan mahasiswa rangkul juara UTC 3.0

MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir KPT melawat reruai produk yang dihasilkan oleh BizzCare Resources
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG MALIM: Ekosistem pembangunan keusahawanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membuktikan keberkesanannya apabila syarikat terbitan Mahasiswa (Spin-off), BizzCare Resources dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Program University to Community (UTC) 3.0, sekali gus menyapu bersih empat anugerah utama yang dipertandingkan dalam program tersebut.

Kejayaan yang diraih di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 29 Oktober 2026 itu menyaksikan BizzCare Resources membawa pulang geran keseluruhan bernilai RM9,500 menerusi empat kategori, iaitu Projek Terbaik Keseluruhan (RM4,000), Pembentangan Terbaik (RM2,500), Anugerah Emas PUNB (RM2,000) dan Komuniti Terbaik (RM1,000).

Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan ekosistem Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) UTHM dalam membangunkan syarikat mahasiswa melalui sokongan menyeluruh yang merangkumi bimbingan inkubasi, pembentukan model perniagaan mampan, fasilitasi dana dan pemantauan mentor akademik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendekatan tersebut membolehkan entiti perniagaan yang dibangunkan mahasiswa berkembang daripada peringkat idea kepada perusahaan yang mampu bersaing dalam pasaran sebenar.

Kejayaan BizzCare Resources turut dipacu menerusi pelaksanaan program flagship BizzKasih yang bertemakan “Dari Tangan Istimewa, Lahirnya Karya Luar Biasa”, iaitu inisiatif perusahaan sosial yang memberi peluang kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk mengembangkan kemahiran serta memasarkan hasil kreativiti mereka.

Menerusi pendekatan Training-to-Market, BizzCare Resources bertindak sebagai pengantara pasaran (market intermediary) dengan menghubungkan penghasilan produk murid kepada peluang jualan yang lebih luas melalui jualan gerai, tempahan korporat dan kerjasama strategik bersama pihak industri.

Sehingga kini, BizzKasih telah memberi manfaat langsung kepada 70 murid PPKI daripada enam buah sekolah menengah di daerah Batu Pahat, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail, SMK Munshi Sulaiman, SMK Datin Onn, SMK Dato’ Onn, SMK Seri Gading dan SMK Seri Medan.

Antara produk yang berjaya dikomersialkan termasuk kraftangan manik, hasil jahitan, aneka roti, biskut serta cenderamata Keychain Larian Songket Malaysia 2026.

Keupayaan projek itu menjana pendapatan turut terserlah apabila merekodkan jualan terkumpul sebanyak RM23,353.50 bagi tempoh Mei 2025 hingga Oktober 2026.

Projek itu diterajui oleh dua pelajar UTHM, Afifahmie Zarif Abdul Risham dan Mohammad Aiman Najmuddin Alias, dengan bimbingan mentor universiti, Profesor Madya Dr. Maisara Othman dan Profesor Madya Dr. Muhaini Othman.

Untuk rekod, Program UTC 3.0 merupakan inisiatif yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan dikendalikan oleh Unit Keusahawanan, Bahagian Dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program itu bertujuan menggerakkan kepakaran institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam membangunkan projek keusahawanan sosial yang mampu memberikan impak secara langsung kepada masyarakat.

Kejayaan BizzCare Resources bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa UTHM membangunkan perusahaan berdaya saing, malah memperlihatkan potensi keusahawanan sosial sebagai pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi komuniti istimewa secara inklusif dan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini