KUALA LUMPUR: Pelakon, Malek Mccrone mendedahkan sikap penyayang isterinya, Tina, terhadap adik perempuannya yang menghidap sindrom Down menjadi antara sebab dia memilih wanita itu sebagai pasangan hidup.
Menurut Malek, 32, dia juga kagum dengan keikhlasan wanita itu menjaga adiknya yang selama ini dianggap seperti anak sendiri.
“Antara perkara yang membuatkan saya yakin dengannya adalah kerana dia sangat baik terhadap adik istimewa saya yang mempunyai sindrom Down. Saya menganggapnya seperti menjaga seorang anak perempuan.
“Adik saya mempunyai perwatakan yang sangat keanak-anakan dan suka perkara-perkara sederhana. Saya mengambil masa selama lapan bulan untuk mendapatkan persetujuan adik dan akhirnya kami semua akan tinggal sebumbung.
“Saya perlu mencari seseorang yang benar-benar boleh dipercayai dan ikhlas menerima serta menjaga adik saya. Sudah tentu saya sangat mengambil berat tentang keselamatannya,” katanya.
Tambah Malek, kehadiran isterinya bukan sahaja melengkapkan kehidupannya sebagai seorang suami, malah membawa kegembiraan baharu kepada adiknya yang sebelum ini sering meluahkan keinginan untuk mempunyai teman.
“Isteri saya berusia 25 tahun, manakala adik pula 26 tahun. Sekarang mereka seperti sahabat baik. Setiap minggu mereka akan keluar bersama, berkaraoke dan membeli-belah.
“Itulah sebenarnya yang adik saya perlukan selama ini. Dia mahukan seorang kakak yang boleh menjadi kawan kerana sebelum ini dia selalu memberitahu saya bahawa dia mahu mempunyai teman.
“Alhamdulillah, isteri saya hadir dan dengan penuh keikhlasan menjadi kawannya. Malah, dia turut memperkenalkan adik kepada lima atau enam orang rakannya. Sekarang hampir setiap minggu mereka mempunyai aktiviti bersama,” kongsinya.
Dalam pada itu, Malek turut mendedahkan isterinya sempat bertemu dan bersalaman dengan arwah ibunya, tiga hari sebelum wanita itu meninggal dunia akibat kanser payudara tahap empat pada September 2024.
“Ketika itu kami hanya berkawan dan langsung tidak merancang untuk berkahwin atau menjalinkan hubungan cinta.
“Selepas itu, kami terputus hubungan selama lapan hingga sembilan bulan kerana saya masih dalam fasa bersedih atas kehilangan ibu dan sibuk menjaga adik-adik.
“Suatu hari kami kembali berhubung dan mula bercakap semula. Dari situ, tiba-tiba semuanya terasa berbunga-bunga. Saya masih ingat arwah ibu selalu berpesan, kalau niat kita baik, selalulah melakukan istikharah.
“Saya cuba melakukannya dan perasaan itu semakin kuat. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan kehidupan kami sekarang sangat ceria,” jelasnya.
Terdahulu, Malek mengejutkan ramai apabila mengumumkan sudah mendirikan rumah tangga dengan Tina dalam sebuah majlis pernikahan tertutup di Batu Pahat, Johor.
Difahamkan, keputusan untuk merahsiakan perkahwinan itu dibuat bagi menghormati kehendak isterinya yang lebih selesa menjalani kehidupan peribadi tanpa perhatian umum.











