Sultan Pahang mahu isu tanah terbiar Pahang ditangani segera

Sultan Pahang mahu isu tanah terbiar Pahang ditangani segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu masalah tanah terbiar di negeri itu diselesaikan bagi membolehkan lebih banyak kawasan dibangunkan untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Baginda bertitah, isu pemilikan tanah dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan banyak kawasan di Pahang masih belum dibangunkan meskipun berpotensi dimanfaatkan untuk kegiatan pertanian.

“Apabila melawat daerah (di Pahang), beta sentiasa bertanya berapa banyak kawasan di Pahang ini yang terbiar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan cuba cari kaedah yang boleh membantu dan memajukan tanah terbiar ini kerana tidak mahu seinci pun tanah di Pahang ini tidak dimajukan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, usaha strategik antara kedua-dua negeri berkenaan membuka peluang untuk mengoptimumkan penggunaan tanah menerusi perkongsian kepakaran dan pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam sektor pertanian.

Baginda berharap segala usaha sama yang dirancang, termasuk dalam pengeluaran makanan dan ternakan, dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin menerusi kerjasama PKPS dan PKPP.

Dalam pada itu, baginda bertitah, kerjasama berkenaan mengambil masa hampir setahun untuk direalisasikan selepas perbincangan awal bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kira-kira setahun lalu.

Baginda menyifatkan gabungan kekuatan kedua-dua negeri itu berpotensi membawa manfaat besar kepada rakyat Pahang dan Selangor, khususnya dalam memperkukuh sektor pertanian serta ekonomi.

“Kerjasama ini beta ibaratkan bukan satu perkahwinan, tetapi kerjasama antara negeri besar dan negeri terkaya.

“Mudah-mudahan gabungan kekuatan kedua-dua negeri ini dapat merealisasikan segala perancangan yang dinyatakan sekali gus membawa kesejahteraan kepada rakyat Pahang dan Selangor,” titah baginda. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini