MELAKA: Calon muda yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya perlu diberi peluang membina pengalaman dan tidak seharusnya terus dipandang rendah hanya kerana kurang pengalaman atau mempunyai cara komunikasi berbeza.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, golongan muda yang diketengahkan sebagai calon perlu dinilai secara adil dengan mengambil kira hakikat bahawa kebanyakan mereka baru pertama kali menyertai pilihan raya.
“Kita kena adili mereka dengan konteks bahawa kebanyakan mereka itu pertama kali.
“Dan mereka juga, mahu tak mahu, kita harus akui ada stigma lama terhadap mereka ini yang menjadikan ramai dalam kalangan calon muda akhirnya akan terus ditekan atau diberi tekanan daripada faktor-faktor tersebut.
“Pengalaman tak adalah, cara komunikasi yang mungkin tak sama dengan orang lama dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aspirasi Melaka Rumah Kita di sini, hari ini.
Menurut Adam Adli, peluang perlu diberikan kepada generasi muda untuk memulakan penglibatan dalam pilihan raya supaya mereka dapat mengumpul pengalaman bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Itulah yang kita harus lihat sebagai realiti. Kalau tidak kita mulakan sekarang maka kita tidak mampu untuk bangunkan pengalaman yang lebih lengkap lagi golongan ini dalam lima tahun, 10 tahun akan datang.
“Mereka kita harapkan boleh kumpul pengalaman bermula pada sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pencalonan golongan muda tidak secara automatik menjamin sokongan pengundi daripada kelompok umur yang sama.
“Kita tidak boleh anggap hanya kerana kita ada calon muda, kita secara automatik boleh menang pengundi muda.
“Pada banyak pertimbangan, pilihan yang dibuat oleh golongan muda itu selalunya tidak semata-mata terhad kepada pendedahan terhadap calon muda, tapi juga apa yang dibentuk pemikirannya oleh masyarakat sekeliling, ibu bapa, keluarga dan sebagainya,” katanya. -UTUSAN











