GERIK: Hilang kawalan ketika memandu dipercayai menjadi punca kemalangan maut yang mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 72, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan bas persiaran yang membawa 30 penumpang kira-kira pukul 3.30 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati Perodua Alza yang dalam perjalanan dari arah Kedah menghala ke Kelantan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Bas persiaran yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak ke kanan, namun perlanggaran tetap berlaku di tengah laluan apabila bahagian hadapan bas bertembung dengan bahagian hadapan sebelah kanan Perodua Alza.
“Ketika kejadian, bas persiaran yang dipandu lelaki berusia 52 tahun itu dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Tanjung Malim,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta iaitu lelaki berusia 64 tahun dan penumpang wanita yang juga isterinya berusia 58 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, seorang lelaki yang merupakan anak pasangan itu berusia 22 tahun pula parah.
“Seorang penumpang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kaki kanan manakala pemandu dan kesemua penumpang bas persiaran tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Abdul Samad berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gerik untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, bedah siasat kedua-dua mangsa dijadualkan dilakukan pada pukul 9 pagi esok di Hospital Gerik.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Samad berkata, polis sedang mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis,” katanya. – UTUSAN











