KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dicadangkan dilantik sebagai anggota pasukan petugas khas antara agensi bagi menyiasat jenayah kewangan, khususnya kegiatan mafia korporat.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, pengalaman Mohd. Shuhaily dalam bidang penguatkuasaan, termasuk sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, boleh dimanfaatkan bagi membantu siasatan pasukan berkenaan.
“Memandangkan Mohd. Shuhaily sudah dipindahkan daripada AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama mana beliau berdepan dengan pertuduhan di mahkamah, saya mencadangkan lantik beliau sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas antara agensi ini untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan.
“Saya yakin Mohd. Shuhaily mampu menjejaki kroni-kroni skandal mafia korporat. Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak dalam peti sejuk KDN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, operasi pasukan petugas khas itu dijangka tidak membabitkan kos besar atau memerlukan pertambahan keanggotaan di Pejabat Peguam Negara.
“Kerajaan juga tidak boleh mengenepikan pegawai awam yang mempunyai rekod prestasi baik dalam usaha membanteras rasuah,” katanya. – UTUSAN











