GEORGETOWN: Sebanyak 3,853 bangunan warisan di sini akan menjalani pemeriksaan visual bermula bulan ini bagi memastikan keselamatan struktur bangunan lama di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO itu terus terpelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melaksanakan inventori, pemeriksaan berkala dan pemantauan bagi mengesan kerosakan struktur serta risiko keselamatan pada peringkat awal.
Katanya, bagi tujuan itu, pihak majlis melantik sebuah syarikat kawalan makhluk perosak pada 11 September lalu untuk menjalankan pemeriksaan visual bagi mengesan kehadiran anai-anai di 3,853 premis warisan.
Jumlah itu merangkumi 82 bangunan Kategori I dan 3,771 bangunan Kategori II, manakala kerja pemeriksaan berkenaan akan bermula bulan ini.
“MBPP juga dalam proses melantik firma perunding kejuruteraan bertauliah bagi menjalankan penilaian awal dan pemeriksaan visual struktur terhadap bangunan warisan Kategori II.
“Langkah itu bertujuan mengenal pasti kerosakan, kemerosotan struktur serta keadaan yang boleh menjejaskan keselamatan,” katanya ketika menjawab soalan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lanchang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung langkah majlis bandaraya memastikan keselamatan bangunan lama serta tindakan terhadap pemilik yang cuai.
Dalam usaha meningkatkan kerjasama dengan pemilik hartanah, MBPP turut mengadakan sesi libat urus pada 19 September lalu bagi menjelaskan tanggungjawab penyelenggaraan serta piawaian keselamatan yang perlu dipatuhi.
Selain itu, arahan turut dikeluarkan pada September lalu kepada persatuan-persatuan Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki hartanah di zon warisan supaya melantik jurutera profesional berdaftar untuk menilai tahap keselamatan struktur bangunan masing-masing.
Mereka juga perlu mengemukakan laporan yang disahkan kepada pihak majlis.
Mengikut garis panduan perancangan semasa, pemilik yang memohon pelan bangunan perlu mengemukakan laporan keselamatan kebakaran dan struktur yang diperakui jurutera berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) sebelum pelan berkenaan diluluskan.
Pemilik juga diwajibkan menjalankan audit keselamatan dan mengemukakan laporan kepada MBPP sekiranya berlaku kerosakan struktur atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, MBPP turut mempermudah beberapa prosedur secara berperingkat bagi menggalakkan usaha pemuliharaan bangunan warisan.
Antara langkah diambil ialah memansuhkan keperluan Pelan Bangunan Pra-Rundingan Warisan berkuat kuasa 1 Januari 2024, menyediakan mekanisme bayaran gantian sebagai alternatif kepada penyerahan tanah bagi tujuan pelebaran jalan mulai 1 Oktober 2025 serta mempermudah prosedur penukaran kegunaan bangunan kediaman kepada komersial sejak 1 Julai tahun ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan tetap dilaksanakan terhadap premis yang dikenal pasti membahayakan keselamatan awam.
Notis boleh dikeluarkan mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi menghapuskan kacau ganggu, manakala Seksyen 83 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 memberi kuasa kepada pihak majlis untuk mengarahkan kerja pembaikan struktur, perobohan sebahagian bangunan atau tindakan keselamatan segera.
“Pemilik yang gagal mematuhi arahan boleh didakwa di mahkamah. MBPP juga diberi kuasa melaksanakan kerja keselamatan yang diperlukan dan menuntut semula semua kos berkaitan daripada pemilik yang ingkar,” katanya.
Mooi Lye berkata, usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan berterusan sejak 18 tahun lalu berjaya mengurangkan jumlah bangunan uzur di zon warisan berkenaan daripada 510 pada 2008kepada hanya 63 setakat tahun ini.
Bagaimanapun, Pulau Pinang menyaksikan beberapa kejadian runtuhan membabitkan struktur bangunan warisan sejak kebelakangan ini.
Terbaharu, pada awal Ogos lalu, sebahagian fasad sebuah bangunan warisan runtuh sehingga menyebabkan dua pelancong warga Sri Lanka cedera, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan bangunan lama di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.











