Siti Nurhaliza diiktiraf Asean, Asia Records - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza diiktiraf Asean, Asia Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejayaan menghimpunkan 145,000 penonton menerusi dua konsert berskala besar mengukuhkan lagi legasi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, apabila beliau menerima dua pengiktirafan daripada Asean Records dan Asia Records.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi kejayaan penganjuran Konsert Legacy 30 dan Konsert Gema Bumantara yang bukan sahaja mencatat kehadiran penonton dalam jumlah luar biasa, malah membuktikan muzik tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan peminat.

Siti menerima kedua-dua pengiktirafan itu pada majlis Malam Apresiasi Meraikan Kejayaan Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Datuk Seri Siti Nurhaliza di KLGCC Mall Convention Centre, Bukit Kiara, di sini, malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengiktirafan pertama diberikan bagi kategori Jumlah Kehadiran Gabungan Tertinggi bagi Dua Konsert Solo di Stadium oleh Artis Rakaman Berbahasa Melayu, dengan keseluruhan 145,000 penonton menghadiri kedua-dua konsert dalam tempoh 10 bulan.

Daripada jumlah itu, seramai 72,000 penonton menyaksikan Konsert Legacy 30 pada 10 Januari lalu, manakala 73,000 lagi membanjiri Konsert Gema Bumantara yang berlangsung pada 17 Oktober lalu.

Sementara itu, pengiktirafan kedua diberikan bagi kategori Konsert Muzik Tradisional Solo Terbesar dan Paling Ramai Dihadiri oleh Artis Rakaman Wanita menerusi Gema Bumantara yang menghimpunkan 73,000 penonton.

Konsert berkenaan turut memperlihatkan keupayaan Siti mengangkat muzik tradisional ke pentas berskala mega apabila beliau mempersembahkan 34 lagu dalam tempoh lebih tiga jam 30 minit.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan kemampuan penyanyi berkenaan mengekalkan sokongan peminat dalam jumlah besar, selain memperkenalkan dan mengangkat warisan muzik tradisional menerusi persembahan bertaraf produksi mega.

Lebih daripada sekadar kejayaan angka kehadiran, kedua-dua pengiktirafan itu menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan seni Siti yang sekian lama mewarnai industri muzik tanah air.

Keupayaannya merentasi pelbagai genre serta mendekati peminat daripada pelbagai generasi turut mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penghibur paling berpengaruh di negara ini.

Kedua-dua pengiktirafan itu disampaikan oleh Penasihat Rekod Asean dan Asia, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Majlis berkenaan turut dihadiri rakan artis yang bersama-sama menjayakan Konsert Legacy 30 dan Gema Bumantara, antaranya Noh Salleh, Hafiz Suip, Haziq Rosebi, Umairah dan Odda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini