TEHERAN: Pasukan Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan sebuah kapal tangki minyak gergasi terkena periuk api di kawasan tidak selamat di timur Selat Hormuz pada Sabtu, menyebabkan letupan dan kebakaran di atas kapal berkenaan.
Dalam satu kenyataan, IRGC berkata, kapal tangki itu terkena periuk api ketika belayar melalui kawasan berkenaan.
Tentera Laut IRGC menambah, kapal tangki minyak gergasi itu kini masih terbakar.
“Kapal tangki berkenaan, yang membawa lebih dua juta tong minyak mentah, cuba keluar melalui laluan selatan Selat Hormuz yang tidak dibenarkan, dengan mengabaikan amaran radio yang dikeluarkan oleh Tentera Laut IRGC,” katanya.
Bagaimanapun IRGC tidak mendedahkan identiti kapal terbabit atau memberikan maklumat mengenai jumlah mangsa.
Pasukan itu turut memberi amaran kepada kapal-kapal di rantau berkenaan supaya tidak melalui kawasan berbahaya di selat itu, selain menggesa semua kapal yang melintasi laluan perairan berkenaan supaya memastikan sistem pengesanan masing-masing sentiasa dihidupkan.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu. Teheran kemudian bertindak balas dengan menyasarkan Israel dan aset AS di rantau berkenaan sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan gencatan senjata pada April.
Washington dan Teheran menandatangani memorandum persefahaman mengenai kebebasan pelayaran di Selat Hormuz pada 18 Jun lalu, namun pelaksanaannya tertangguh berikutan perselisihan mengenai aspek keselamatan di selat berkenaan.











