SEPANG: Juara dunia tujuh kali, Marc Marquez mendominasi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selepas melakar masa terpantas pada sesi latihan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di sini, hari ini.
Pelumba Ducati Lenovo Team itu mencatat masa terpantas sepusingan 1 minit 57.000 saat (s) yang menyaksikan Marquez terus melayakkan dirinya ke sesi kelayakan 2 (Q2) , esok.
Adiknya, Alex Marquez yang bernaung di bawah pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP pula melengkapkan saingan di kedudukan kedua dengan catatan masa sepusingan 1:57.109s.
Sementara, pelumba Jepun, Ai Ogura yang mewakili pasukan Superfile Trackhouse MotoGP Team berada di tempat ketiga menerusi lakaran masa 1:57.167s.
Dalam pada itu, untuk sesi latihan membabitkan kelas Moto2, pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, Manuel Gonzales dari Sepanyol mengungguli aksi dengan catatan masa terpantas 2:03.737s.
Tempat kedua menjadi milik penunggang Italjet Grasini Moto2, Alonso Lopez juga dari Sepanyol (2:03.881s), manakala Daniel Holgado dari pasukan CFMOTO RCB Aspar Team menghuni kedudukan ketiga (2:03.943s). – UTUSAN










