HULU LANGAT: Pelakon dan pelawak, Abon, memilih untuk meletakkan faktor kesihatan sebagai keutamaan berbanding mengejar tawaran lakonan selepas menjalani pembedahan jantung, baru-baru ini.
Abon atau Sharizan Ahmad, 66, mendedahkan biarpun prosedur angioplasti jantung yang dilaluinya awal bulan ini menunjukkan perkembangan positif, beliau kini perlu memberikan tumpuan kepada rawatan susulan melibatkan gangguan fungsi buah pinggang.
Menurutnya, selepas sebulan menjalani tempoh pemulihan, beliau bersyukur kerana keadaan fizikalnya semakin menunjukkan tanda-tanda pulih termasuk mula kembali berselera untuk makan.
“Dalam masa sebulan ini nampak ada perkembangan yang bagus, saya sudah boleh makan. Kalau di rumah, dua sudu itu sudah dikira banyak bagi saya.
“Kadang-kadang rasa kasihan juga pada orang rumah (isteri) yang sudah penat memasak tetapi saya tidak mampu makan banyak,” katanya ketika ditemui media di kediamannya, di sini.
Terdahulu, pemenang tempat ketiga Maharaja Lawak Mega 2011 ini dilaporkan berdepan gangguan fungsi buah pinggang selepas menjalani rawatan masalah jantung pada 9 September lalu.
Mengulas mengenai kelangsungan kerjaya yang menjadi ‘periuk nasi’ utamanya, Abon mengakui terpaksa menebalkan telinga menolak sekurang-kurangnya enam tawaran kerja demi memastikan tubuhnya benar-benar sembuh sepenuhnya.
“Setakat ini sebanyak enam tawaran terpaksa ditolak. Ada dua lagi tawaran yang saya belum berikan jawapan pasti kerana masih ragu-ragu dengan kemampuan diri, iaitu tugasan untuk bulan Disember ini dan tahun depan.
“Ikutkan hati saya rasa macam boleh buat, lagipun kalau saya tidak ambil tawaran itu, saya tidak bekerjalah. Namun, saya perlu jujur dengan keadaan kesihatan sekarang,” ujarnya lagi.
Abon ditemui pada majlis kunjungan hormat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Prihatin dan Sahabat Amal Selangor yang hadir bagi meninjau perkembangan serta memberikan sokongan moral kepada beliau. -UTUSAN











