PETALING JAYA: Penumpang yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini hingga Ahad ini dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal berikutan jangkaan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar lapangan terbang itu.
Malaysia Airlines memaklumkan, kesesakan dijangka berlaku di kawasan sekitar KLIA serta lebuh raya menuju ke lapangan terbang berkenaan sempena penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia PETRONAS 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
“Walaupun semua laluan masuk ke KLIA kekal dibuka, penumpang digesa memantau perkembangan trafik semasa yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang ramai turut dinasihatkan merancang laluan alternatif atau menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres bagi memastikan mereka tiba tepat pada waktunya di lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia Airlines turut meminta penumpang penerbangan antarabangsa tiba di KLIA sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas, manakala penumpang penerbangan domestik perlu tiba sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.
Syarikat penerbangan nasional itu turut mengingatkan bahawa kaunter daftar masuk bagi kedua-dua segmen penerbangan akan ditutup 60 minit sebelum waktu pelepasan. – UTUSAN











