Penghantaran pesawat FA-50M perkukuh pertahanan ruang udara negara - Utusan Malaysia

Penghantaran pesawat FA-50M perkukuh pertahanan ruang udara negara

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bergambar di hadapan pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Labuan. - RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Penghantaran pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan bakal memperkukuhkan keupayaan pertahanan ruang udara negara ini khususnya dalam menghadapi keperluan pemodenan aset ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI), Korea Selatan disifatkan amat penting bagi meningkatkan keupayaan operasi TUDM terutamanya apabila pesawat Hawk akan dinyahtauliahkan pada tahun 2028.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perolehan bernilai hampir RM4 bilion yang dimeterai pada 2023 itu membabitkan pesawat yang berperanan sebagai pesawat latihan pejuang lanjutan selain melaksanakan operasi tempur ringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perolehan ini sangat penting dan bersejarah untuk meningkatkan keupayaan negara dalam mempertahankan ruang udara.

“Seperti yang kita sedia maklum, pesawat Hawk yang sedang kita gunakan sekarang akan dinyahtauliahkan pada 2028. Oleh sebab itu, perolehan pesawat baharu ini amat penting,” katanya dalam sidang akhbar sebelum sesi menyaksikan ketibaan pesawat FA-50M pertama bertempat di Pangkalan Udara Labuan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut memaklumkan sebanyak enam buah pesawat dijadualkan diterima sebelum April 2027, manakala keseluruhan 18 pesawat berkenaan dijangka diterima sepenuhnya pada Mac 2028.

Katanya, bagi fasa penghantaran kali ini, dua buah pesawat sepatutnya dijadualkan berlepas dari Korea Selatan semalam dan melakukan persinggahan di Filipina sebelum tiba di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, masalah teknikal menyebabkan hanya sebuah pesawat tiba hari ini, manakala pesawat kedua dijangka menyusul seawal esok selepas isu berkenaan diselesaikan Korea Aerospaces Industries (KAI).

“Secara keseluruhannya, kita tetap akan menerima dua buah pesawat untuk fasa ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini