MTL: Siap sedia tambah PPS atau peningkatan kos?

MTL: Siap sedia tambah PPS atau peningkatan kos?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JANGAN ada bot yang bila start esok, enjin dia tak boleh start.”

Peringatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Ne­geri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman sewaktu berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, semalam mungkin kedengaran lucu, tetapi besar maknanya ketika negara bersiap menghadapi musim tengkujuh. Jangan sampai ketika mangsa banjir memerlukan bantuan segera, bot pula gagal dihidupkan kerana tidak diselenggara dengan baik.

Musim Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula bulan depan membawa ke Mac tahun depan bukan perkara baharu. Pengalaman menghadapi bencana banjir setiap tahun tidak sepatutnya membuatkan kita alpa, apatah lagi menganggap persediaan boleh dilakukan pada saat akhir.

Lewat beberapa minit pun boleh memberi kesan besar. Sebab itu, perancangan operasi kena susun rapi supaya bantuan dapat digerakkan dengan pantas apabila diperlukan.

Kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat juga penting bagi memastikan usaha menyelamat dan pemindahan mangsa berjalan lancar.

Sepanjang MTL 2024/2025, seramai 274,533 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di 12 ne­geri. Angka ini bukan kecil. Ia sepatutnya menjadi per­ingatan bahawa banjir bukan sekadar kejadian bermusim, sebalik­nya bencana yang mengancam keselamatan, kehidupan dan harta benda rakyat.

Tetapi, sampai bila kita hanya bercakap tentang pemindahan mangsa setiap kali banjir melanda? Jika kawasan sama terus menjadi titik panas setiap tahun, penyelesaian jangka panjang perlu diberi perhatian lebih serius.

Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kerugian akibat banjir pada 2024 mencecah RM933.4 juta, bersamaan 0.05 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jumlah itu meningkat 24 peratus berbanding RM755.4 juta pada 2023. Kerugian melibatkan kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian serta aset awam dan infrastruktur.

Walaupun jauh lebih rendah berbanding RM6.112 bilion pada 2021, angka ratusan juta ringgit tetap besar dan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Macam mana dengan kerja tebatan banjir, penyelenggaraan saliran serta usaha mendalamkan sungai dan parit?. Apakah kemajuan projek yang dirancang dan sejauh mana keberkesanannya? Persoalan ini wajar dijawab secara terbuka supaya rakyat tahu wang yang dibelanjakan benar-benar membawa hasil.

Adakah PPS menjadi jawapan utama setiap kali banjir berlaku?. Kita memang memerlukan bot yang berfungsi, pasukan penyelamat cekap dan tempat perlindungan yang selesa.

Namun, usaha mengurangkan risiko banjir dari puncanya tidak boleh diketepikan.

Jangan sampai setiap tahun kita semakin mahir memindahkan mangsa, tetapi masih gagal mengurangkan masalah di kawasan yang sama.

Bersedia menghadapi banjir itu wajib, tetapi mencari jalan supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa banjir juga sama pentingnya.

Selain bot lebih canggih untuk menyelamatkan mangsa banjir, paling jelas khemah untuk mangsa yang kini lebih cantik dan kemas. Yang lain, fikirlah sendiri.

 

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN