Pandelela, Eilisha perlu bangkit buru tiket LA28

Pandelela, Eilisha perlu bangkit buru tiket LA28

Pandelela Rinong perlu bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan selepas berakhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengalaman mengecewakan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu dijadikan penanda aras buat Datuk Pandelela Rinong dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj untuk memperkemas prestasi menjelang Kejohanan Dunia Akuatik 2027 di Budapest yang menjadi antara medan penting memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pengarah Teknikal Terjun Akuatik Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee berkata, kedua-dua penerjun itu perlu meningkatkan konsistensi dan mutu pelaksanaan terjunan selepas berdepan permulaan sukar dalam acara seirama sebelum mengharungi persaingan sengit dalam acara individu di Aichi-Nagoya.

“Bagi Elisha dan Pandelela, mereka menghadapi permulaan yang agak sukar dalam acara seirama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam acara individu, mereka juga sudah memberikan yang terbaik, tetapi standard acara platform wanita sangat tinggi, terutama pada tahap pertandingan seperti ini,” katanya.

Di Aichi-Nagoya, gandingan negara itu menduduki tempat keempat acara seirama 10 meter (m) platform wanita dengan 247.29 mata, manakala dalam acara individu Pandelela menamatkan saingan di tempat keenam dengan 289.15 mata dan Eilisha di tangga ke-11 dengan 216.60 mata.

Ken Nee berkata, pengalaman itu perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti kelemahan yang masih wujud, terutama dalam aspek konsistensi dan pelaksanaan terjunan, supaya kedua-dua penerjun dapat memberikan saingan lebih meyakinkan pada kejohanan utama akan datang.

“Kami perlu terus berusaha meningkatkan konsistensi dan pelaksanaan terjunan mereka.

“Apabila penerjun dapat melakukan terjunan secara konsisten dengan kesilapan minimum, kami berupaya bersaing dan mencabar kedudukan pingat,” katanya.

Kejohanan Dunia Akuatik di Budapest yang dijadual berlangsung dari 26 Jun hingga 4 Julai 2027 bakal menguji kemampuan penerjun negara memperbaiki prestasi sebelum peluang kelayakan Olimpik menerusi kejohanan itu ditentukan berdasarkan syarat yang ditetapkan bagi acara individu.

Justeru, Pandelela dan Eilisha perlu menjadikan keputusan di Aichi-Nagoya sebagai ukuran terhadap aspek yang masih perlu diperkukuh, bukannya sekadar pengalaman lalu, ketika mereka berusaha meningkatkan prestasi untuk bersaing dengan penerjun terbaik dunia.

Untuk rekod, Pandelela terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara 10 meter (m) platform individu wanita selepas terkandas di pusingan kelayakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada Februari 2024 lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini