PARIT BUNTAR: Air yang bertakung di kawasan sawah di Parit Telok Pial, Kuala Kurau dekat sini mula mengalir selepas Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian menghantar jentera bagi membersihkan parit buang yang tersumbat dengan semak samun dan sampah sarap.
Wakil penduduk, Mohd Safuan Arbain, 38, berkata, bantuan itu memberi kelegaan kepada pesawah selepas masalah saliran berkenaan mendapat perhatian menerusi laporan media sebelum ini.
Menurutnya, penduduk turut bergotong-royong membersihkan parit terbabit sejak pukul 8 pagi tadi bagi membantu melancarkan aliran air keluar dari kawasan sawah.
“Alhamdulillah, dengan bantuan jentera IADA, air yang sebelum ini terhalang kini mula mengalir walaupun masih perlahan kerana banyak kawasan belum dibersihkan.
“Penduduk berharap kerja-kerja mencuci parit ini diteruskan menggunakan jentera yang sesuai sehingga selesai,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.
Mohd Safuan berkata, jentera IADA dijangka membantu kerja pembersihan di kawasan berkenaan sekali lagi esok bagi mengatasi masalah tersebut.
Katanya, penduduk berharap usaha itu dapat diteruskan sehingga aliran air kembali lancar dan masalah takungan air dapat diselesaikan.
Terdahulu, media melaporkan lima buah rumah di Parit Telok Pial dinaiki air akibat limpahan dari kawasan sawah yang bertakung sejak hampir seminggu, dipercayai berpunca daripada parit saliran yang tidak diselenggara.
Lebih 40 hektar atau 100 ekar sawah di Kompatmen C turut ditenggelami air menyebabkan benih padi yang ditabur hanyut dan rosak sehingga pesawah terpaksa menunggu air surut sebelum dapat menilai kerosakan tanaman masing-masing. – UTUSAN











