PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah memastikan anggota, peralatan dan penyelarasan operasi berada pada tahap terbaik bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku dari November hingga Mac depan.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata, arahan itu bagi memastikan semua agensi di bawah kementerian berkenaan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, khususnya ketika berdepan kemungkinan kejadian banjir dan bencana sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, persiapan perlu dilakukan lebih awal dan bukannya menunggu sehingga keadaan banjir menjadi semakin buruk sebelum tindakan diambil.
“Setiap ketua jabatan perlu memastikan anggota masing-masing mendapat latihan mencukupi, selain semua peralatan operasi berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan apabila diperlukan.
“Jangan ada bot yang bila ‘start’ waktu esok, enjin dia tak boleh start,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Katanya, kegagalan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik boleh menjejaskan kelancaran operasi, terutama ketika bantuan perlu digerakkan segera bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap akibat banjir.
Awang Alik berkata, selain aspek teknikal, beliau turut mengingatkan semua ketua jabatan supaya memastikan penyelarasan operasi dilaksanakan dengan teratur bagi mengelakkan kekeliruan ketika menghadapi situasi kecemasan.
Katanya, setiap agensi perlu mengetahui anggota yang perlu digerakkan, tindakan yang perlu diambil serta kaedah operasi yang akan dilaksanakan apabila berlaku bencana.
“Semua perkara itu perlu diselesaikan pada peringkat persediaan dan tidak boleh dibiarkan sehingga bencana berlaku sebelum tindakan sewajarnya dirancang.
“Jangan tunggu dah banjir, dah teruk besok baru kita nak, ‘Oh, macam mana nak buat?’, sekarang baru kita nak tahu,” katanya.
Katanya, kkelemahan dalam persediaan, penyelenggaraan peralatan dan penyelarasan operasi boleh memberikan gambaran negatif terhadap keupayaan KDN serta agensi di bawahnya dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Jelasnya lagi, usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat perlu menjadi keutamaan semua warga kementerian, termasuk memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan secara konsisten, profesional dan penuh integriti. – UTUSAN











