Krisis syarikat, apa nasib dan hak pekerja? - Utusan Malaysia

Krisis syarikat, apa nasib dan hak pekerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDAR atau tidak, selepas kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2027, termasuk gaji minimum RM2,000 dan RM2,500 untuk graduan baharu serta pekerja separa mahir, graduan di lapangan berdepan pelbagai kesukaran mendapatkan pekerjaan setara kelulusan selepas tamat pengajian. Mereka mahu bekerja untuk membantu keluarga, membayar semula hutang pendidikan.

Justeru, tidak hairanlah ramai graduan bekerja secara separuh masa atau bekerja di luar bidang. Jika separuh masa, gaji ditawar ikut jam ada RM12 sejam, ada RM8 sejam. Ikut majikan, mereka tiada pilihan.

Bagi yang bekerja tetap pula, berdepan situasi pemberhentian atau pengurangan pekerja. Banyak syarikat dilaporkan mengurangkan pengambilan pekerja baharu dan lebih suka mengambil pekerja secara kontrak bagi mengurangkan kos. Ada juga syarikat yang dalam proses penggabu­ngan operasi dengan syarikat ‘seteru’.

Yang menjadi persoalan, apa hak pekerja apabila proses penggabungan membabitkan pengurangan, pengecilan atau pemberhentian pekerja dibuat secara ‘senyap’, tidak telus.

Pekerja tidak dimaklumkan secara telus apa perancangan syarikat. Banyak maklumat yang mereka terima daripada pihak luar, sedangkan di pihak syarikat atau majikan sendiri, ambil sikap ‘kunci mulut.’

Sesi town hall yang diadakan pula, bukan sesi penjelasan dan penerangan pihak syarikat mengenai pelan perancangan untuk mengatasi krisis yang dihadapi. Sebaliknya, ia lebih kepada sesi mencari kesilapan, masalah dan kekurangan pekerja yang memungkinkan tindakan boleh diambil terhadap mereka.

Di sesetengah syarikat, pekerja juga tiada suara kera­na mereka tidak dibenarkan mempunyai kesatuan sekerja bagi menyua­ra dan memperjuangkan untung nasib mereka. Maka, apa sahaja yang majikan putuskan, mereka tiada pilihan kena akur. Terima atau berhenti.

Dan setiap kali syarikat berdepan masalah, pekerja adalah kumpulan pertama yang menjadi sasaran. Jarang sekali kita mendengar, pihak majikan memotong atau mengurangkan gaji, elaun pegawai-pegawai atasan dahulu untuk me­ngurangkan kos.

Selalunya, pegawai atasan adalah kelompok akhir diberhentikan, berbanding pekerja kate­gori bawahan. Padahal, tanpa pekerja bawahan, tidak mungkin pegawai atasan mampu melaksanakan tugasan mereka. Kebanyakan mereka hanya tahu mengarah, sedangkan yang melaksana adalah pekerja bawahan.

Namun, jika syarikat untung, pegawai atasan adalah yang pertama dapat nama, imbuhan lebih tinggi, kenaikan pangkat dan lain-lain.
Sikap majikan sebegini, tidak pun membantu usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Mana mungkin rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik, sekiranya mereka tiada pekerjaan dan jika adapun bakal berdepan pemberhentian. Situasi sebegini bukan sahaja menjejaskan motivasi dan semangat pekerja, malah menjejaskan kesihatan mental mereka.

Pekerja bukan ‘liabiliti’ kepada syarikat, mereka adalah ‘aset’. Pelbagai kemahiran dimiliki pekerja sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya untuk pertumbuhan syarikat.

Kegagalan syarikat bukan disebabkan pekerja, sebaliknya berpunca daripada pengurusan yang tidak bijak memanfaatkan segala kelebihan yang dimiliki pekerja mereka. – UTUSAN

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia