PETALING JAYA: Bursa Malaysia Bhd mencatatkan peningkatan 13.5 peratus dalam keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) kepada RM214.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, berbanding RM189.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disokong aktiviti dagangan yang lebih rancak, pengumpulan dana berterusan serta penyertaan pelabur yang menggalakkan merentasi pasaran sekuriti dan derivatif.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, PATAMI pengendali bursa itu meningkat 10 peratus kepada RM70.2 juta berbanding RM63.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, prestasi bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencerminkan momentum pasaran yang berterusan, disokong oleh aktiviti dagangan lebih kukuh dan pengumpulan modal yang kekal memberangsangkan.
Katanya, sebanyak 47 tawaran awam permulaan (IPO) direkodkan dalam tempoh berkenaan, manakala Nilai Dagangan Harian Purata (ADV) Pasaran Sekuriti meningkat 27.6 peratus dan Purata Kontrak Harian (ADC) Pasaran Derivatif berkembang 19.3 peratus.
“Dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus pada 2026, asas domestik Malaysia kekal menyokong aktiviti pengumpulan modal dan pelaburan.
“Pada masa sama, ketidaktentuan geopolitik dan keadaan kewangan global yang lebih ketat menyebabkan pelabur lebih selektif dalam menentukan penempatan modal mereka.
“Dalam persekitaran ini, tumpuan kami kekal kepada usaha meningkatkan kerancakan dan penyertaan pasaran, di samping terus melabur dalam daya tahan serta kebolehpercayaan infrastruktur pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, antara inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan termasuk penambahbaikan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI dan FTSE Bursa Malaysia Mid 70, pelaksanaan MY Value Up serta pengukuhan hubungan pasaran serantau dan antarabangsa, termasuk antara Malaysia dengan Hong Kong.
Sementara itu, hasil operasi Bursa Malaysia bagi tempoh sembilan bulan meningkat 19.8 peratus tahun ke tahun kepada RM620.8 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti dagangan dalam pasaran sekuriti dan derivatif serta yuran penyenaraian.
Bagaimanapun, perbelanjaan operasi turut meningkat 23.4 peratus kepada RM349 juta, mencerminkan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat dan teknologi serta peningkatan yuran kawal selia.
Dalam Pasaran Sekuriti, ADV bagi Dagangan Dalam Pasaran (OMT) meningkat 27.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.2 bilion.
Aktiviti pengumpulan dana juga kekal kukuh apabila 47 IPO berjaya mengumpul RM6.1 bilion, selain menyumbang RM28.7 bilion kepada permodalan pasaran.
Bursa Malaysia turut mendahului rantau ASEAN dari segi jumlah IPO dan dana yang dikumpul sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam Pasaran Derivatif, ADC meningkat 19.3 peratus tahun ke tahun kepada 113,120 kontrak, didorong terutamanya oleh aktiviti dagangan lebih kukuh dalam Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah dan Niaga Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI.
Bagi Pasaran Islam, Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) merekodkan ADV sebanyak RM48.5 bilion, manakala Bursa Gold Dinar terus mencatatkan pertumbuhan apabila nilai emas yang didagangkan melonjak 124.2 peratus kepada RM234.5 juta.
Hasil bukan dagangan, yang menyumbang kira-kira 37 peratus daripada keseluruhan hasil operasi, turut meningkat 19.3 peratus kepada RM229.4 juta.
Pertumbuhan itu antara lain disumbangkan oleh peningkatan 64.1 peratus tahun ke tahun dalam hasil perkhidmatan penyenaraian dan penerbit. – UTUSAN











